'Sudah 13 jam atas jalan tapi belum sampai kampung' - Perantau

KUALA TERENGGANU - Perantau yang pulang ke Terengganu sempena sambutan Aidilfitri kali ini berkongsi mengenai kesesakan yang ditempuhi sepanjang perjalanan.
Tinjauan di Plaza Tol Kuala Terengganu di sini mendapati trafik bergerak perlahan ekoran peningkatan jumlah kenderaan yang ketara pada Sabtu.
Seorang pengguna, Khairul Azwan Japilos, 30, berkata, dia berdepan kesesakan teruk sejak memulakan perjalanan dari Bangi.
"Dari Bangi jalan dah mulai sesak sehingga ke sini (Terengganu). Tak tahu berapa kali berhenti. Saya bertolak jam 11 malam dan sekarang sudah 13 jam di atas jalan," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Seorang lagi pengguna, Ruzainu Che Mat, 40, yang dalam perjalanan pulang ke Kuala Krai berkata, trafik di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) masih lancar, namun dia mendapat maklumat bahawa jalan di Permasuri (Setiu) sesak teruk.
"Saya bertolak dari Johor Bahru jam 5.30 pagi dan tiba di Kuala Terengganu sekitar 1.30 tengah hari, lebih kurang tujuh ke lapan jam perjalanan. Cuaca pun baik dan tidak panas terik," katanya.
Difahamkan, lebih 55,000 kenderaan menggunakan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sejak Jumaat sempena sambutan Aidilfitri kali ini.
Pengurus Wilayah LPT2, Mohamad Pazli Kasim berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan 150 peratus, dengan aliran trafik paling tinggi ke arah Utara Terengganu.
“Dijangkakan jumlah kenderaan akan meningkat kepada 70,000 buah menjelang lewat malam ini.
"Buat masa ini, trafik bergerak perlahan dari Cukai ke Kerteh, Kerteh ke Dungun, Paka ke Bukit Besi serta Ajil ke Kuala Terengganu,” katanya.
Beliau berkata, bagi mengurangkan kesesakan, pihak LPT2 telah membuka lorong tambahan di Tol Kuala Terengganu dekat Bukit Gemuruh serta menambah kaunter Touch 'n Go (TnG) mudah alih.
Katanya, orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan bagi mengelakkan kesesakan di lebuh raya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
