Laluan sehala Tapah ditambah baik

TAPAH - Penambahbaikan sistem laluan sehala di pekan Tapah akan dilaksanakan kerajaan secara berfasa bagi meningkatkan kelancaran aliran trafik demi keselesaan rakyat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, inisiatif berkenaan merupakan langkah jangka panjang yang dirangka berdasarkan kajian menyeluruh bersama agensi berkaitan.
Menurutnya, pelaksanaan penambahbaikan tersebut akan dilakukan dalam dua fasa utama, dengan fasa pertama melibatkan kerja-kerja penambahbaikan laluan sehala sedia ada bermula 7 hingga 30 April 2025.
“Masalah kesesakan lalu lintas di Tapah sudah berlarutan sejak sekian lama, terutamanya pada musim perayaan, cuti sekolah, hujung minggu serta waktu puncak.
“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita tidak boleh membiarkan masalah ini berterusan tanpa penyelesaian konkrit. Maka, pelaksanaan sistem penyuraian trafik ini adalah perlu,” katanya dalam sidang media di Pejabat Menteri Besar di sini pada Jumaat.
Saarani berkata, fasa pertama yang menelan kos RM2.2 juta itu akan melibatkan turapan semula jalan, pembinaan pembahagi jalan, pemasangan papan tanda, garisan baharu serta pembukaan laluan ke Masjid Sultan Nazrin Muizzuddin Shah melalui Jalan Tapah Road.
Jelasnya, bagi fasa kedua pula melibatkan pembinaan jalan baharu iaitu laluan pintas yang dijangka bermula tahun ini dengan kos sebanyak RM17 juta melalui peruntukan pembangunan negeri.
Menurutnya, laluan sepanjang 300 meter ini akan berfungsi sebagai laluan alternatif bagi pengguna dari Cameron Highlands ke Kampar dan Bidor tanpa perlu melalui Pekan Tapah.
“Segala usaha ini bukan bertujuan menyulitkan rakyat, sebaliknya dilaksanakan berdasarkan kajian menyeluruh sebagai perancangan jangka panjang demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat, khususnya di Tapah untuk tahun-tahun akan datang.
“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita tidak boleh membiarkan masalah ini berterusan tanpa penyelesaian konkrit. Pembangunan memerlukan pengorbanan dan kita perlu berani membuat perubahan demi kebaikan bersama,” ujarnya.
Sementara itu, Saarani yakin apabila kedua-dua fasa ini siap kelak, aliran trafik akan menjadi lebih lancar selain urusan perniagaan, pergerakan pelancong, penghantaran logistik dan aktiviti masyarakat akan menjadi lebih efisien serta selamat.
Kerajaan negeri setuju lokasi baharu penjaja
Golongan peniaga dan penjaja di pekan Tapah mendapat berita gembira apabila Kerajaan Negeri Perak bersetuju menempatkan mereka ke lokasi baharu yang lebih strategik.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya mengambil maklum isu melibatkan penjaja kecil yang terjejas akibat pelaksanaan sistem penyuraian trafik itu.
Menurutnya, satu pertemuan telah diadakan bersama persatuan peniaga pada 24 Mac lalu bagi mencari penyelesaian terbaik.
“Kerajaan telah mengenalpasti satu lokasi strategik yang dicadangkan sebagai tapak penempatan semula penjaja.
“Cadangan tersebut disambut baik oleh persatuan peniaga dan sesi perbincangan dan libat urus akan dilaksanakan sama ada di peringkat kerajaan negeri dan persekutuan agar segala permasalahan yang timbul dapat ditangani secara berkesan,” katanya.
Saarani berkata, bagaimanapun beberapa proses pentadbiran dan isu pemilikan masih perlu dilaksanakan sebelum lokasi tersebut dapat dimuktamadkan.
Beliau dalam pada itu percaya rakyat Perak, khususnya warga Tapah, matang dan rasional dalam menilai usaha kerajaan. Katanya, sebarang perubahan akan mengambil masa tetapi dengan perancangan, keikhlasan dan ketelusan, akan membuahkan hasil untuk nikmati bersama.
REAKSI

"Bagi pihak persatuan kita gembira apabila MB (Menteri Besar) umumkan tapak yang kita cadangkan. Selama ini memang kita teringin nak ada dataran penjaja seperti di tempat lain, alhamdulillah akhirnya kita akan dapat.” - Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Daerah Batang Padang, Abdul Rashid Osman.

“Dari segi penjaja dan peniaga, kita memang sangat bersetuju dengan apa yang beliau lakukan. Dari pihak persatuan, kita berterima kasih atas pertimbangannya apabila kita minta beliau sediakan tempat yang lebih strategik. Kita juga berharap, sekiranya tapak ini diberikan kepada Majlis Daerah Tapah, pihak majlis tidak akan menyerahkannya kepada pihak lain sebab kita tahu kemungkinan perkara seperti ini boleh berlaku.” - Timbalan Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Daerah Batang Padang, Azrul Azmi Yaziz.
INFO
KRONOLOGI PERANCANGAN DAN PELAKSANAAN
-9 Jan 2024 – Mesyuarat penyelarasan pertama bersama semua pihak berkepentingan.
-19 & 22 Jan - Mac 2024 – Pembentangan dan penambahbaikan cadangan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD).
-20 Mei 2024 – Kerja awal dimulakan.
-23 Ogos 2024 – Sistem trafik satu hala mula dilaksanakan secara rasmi.
-Oktober - November 2024 – Sesi penambahbaikan diteruskan dan mendapat sokongan padu JTPD.
-Disember 2024 – Mac 2025 – Lawatan teknikal, penghantaran memorandum, penyediaan laporan keselamatan dan pertemuan dengan NGO diadakan bagi memastikan suara rakyat diberi perhatian.
FASA 1: Penambahbaikan Laluan Sehala Sedia Ada
-Status Kerja – Akan dimulakan pada 7 April hingga 30 April 2025
-Kos: RM2.2 juta (Peruntukan Kerajaan Persekutuan)
Kerja yang dilaksanakan menukarkan laluan sementara kepada laluan kekal
-Turapan semula jalan, pembinaan pembahagi jalan, papan tanda, dan garisan baharu
-Membuka laluan ke Masjid melalui Jalan Tapah Road
Penambahbaikan di simpang Sekolah Kebangsaan Satu
FASA 2: Pembinaan Jalan Baharu atau bypass (2025–2027)
-Status Kerja – akan dimulakan tahun ini juga y Kos: RM17 juta (Peruntukan Pembangunan Negeri)
-Kerja yang akan dilaksanakan:
-Menghubungkan FT001 Seksyen 539.0 ke FT059 Seksyen 2.0 y Laluan alternatif bagi pengguna Cameron Highlands – Kampar – Bidor tanpa perlu melalui Pekan Tapah
-Panjang laluan baharu 300 meter, standard R5, dengan dua persimpangan baharu dan lampu jalan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

