EU gesa rakyat sedia bekalan tiga hari hadapi krisis perang

BRUSSELS – Kesatuan Eropah (EU) menggesa rakyatnya menyimpan bekalan makanan, air dan keperluan asas mencukupi untuk sekurang-kurangnya 72 jam bagi menghadapi kemungkinan krisis akibat peperangan, serangan siber, perubahan iklim dan wabak penyakit, lapor Associated Press (AP).
Pesuruhjaya Kesediaan dan Pengurusan Krisis, Hadja Lahbib berkata, ancaman terhadap Eropah semakin kompleks dan saling berkait, justeru rakyat perlu bersedia dengan keperluan asas seperti makanan, air, lampu suluh, dokumen pengenalan diri, ubat-ubatan dan radio gelombang pendek.
EU turut merancang membina rizab strategik termasuk pesawat pemadam kebakaran, peralatan perubatan, tenaga dan pengangkutan serta aset khas untuk menghadapi ancaman kimia, biologi, radiologi dan nuklear.
Strategi itu selari dengan langkah di Perancis, Finland dan Sweden yang telah memperkemaskan pelan kesiapsiagaan mereka bagi menghadapi ancaman keselamatan baharu.
Sweden tahun lalu mengemas kini panduan kecemasan era Perang Dingin bagi menangani kemungkinan serangan nuklear, sementara beberapa negara EU lain masih kurang bersedia menghadapi krisis besar.
Suruhanjaya EU mahu negara anggota lebih berkoordinasi dalam menghadapi kecemasan, bukan sekadar bertindak secara 'ad hoc' seperti sebelum ini. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
