Masjid Mahmudi Mukim Kangkong bakal jadi mercu tanda, perlu dana RM20 juta

KOTA BHARU - Masjid Mahmudi Mukim Kangkong, Pasir Mas yang berusia hampir 100 tahun kini dalam pembaikan dan bakal menjadi sebuah kompleks masjid yang lengkap dengan semua kemudahan.
Imam 1 Masjid Mahmudi Mukim Kangkong, Zulkifli Yahya berkata, masjid lama itu terlalu banyak 'jasa' kepada umat Islam di kawasan berkenaan dan baik pulih perlu kerana bimbang dengan keselamatan jemaah.
Menurut beliau, kompleks masjid itu akan dilengkapi dengan fasiliti termasuk dewan serbaguna, bilik mesyuarat, bilik jenazah dan ruang parkir.
"Masjid dua tingkat yang memuatkan kira-kira 2,500 jemaah akan datang ini bakal menjadi mercu tanda di Mukim Kangkong Pasir Mas apabila siap kelak," katanya.
Jelas beliau, dana yang diperlukan untuk menyiapkan tempat ibadat berkenaan ialah RM20 juta dan berharap orang ramai dapat menyumbang untuk tujuan itu.
"Sumbangan akan menerima 100 peratus potongan cukai selain gandaan pahala sempena Ramadan," katanya.
Beliau turut mengalu-alukan orang ramai melihat sendiri struktur pembinaan yang sedang giat dijalankan di belakang masjid lama.
Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB Bank di nombor 8011 335757 di atas nama Tabung Pembangunan Masjid Kangkong atau menghubungi Zulkifli di talian 0199656867.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
