Pemandu bas ekspres bawa penumpang dari Terengganu ke Johor positif dadah

KUALA TERENGGANU - Seorang pemandu bas ekspres ditahan kerana positif dadah jenis methamphetamine dalam Operasi Khas Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri (HRA) Tahun 2025 di Terminal Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini pada Khamis.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Mohd Zamri Samion berkata, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan kira-kira jam 9.45 pagi selepas menjalani ujian saringan air kencing oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
"Pemandu bas itu membawa penumpang dari Kuala Terengganu ke Pasir Gudang, Johor namun ketika pemeriksaan dilakukan oleh pihak AADK mendapati lelaki terbabit gagal dalam ujian saringan air kencing dijalankan.
"Jadi kita pastikan bas itu ditukar dengan pemandu lain bagi memastikan penumpang sampai ke destinasi mereka mengikut jadual perjalanan ditetapkan dengan selamat.
"Selain itu, pemeriksaan di terminal bas berkenaan yang bermula sejak 24 Mac lalu sehingga kini mendapati setiap bas yang diperiksa tidak mempunyai sebarang kesalahan teknikal selain ia berada dalam keadaan baik," katanya ketika sidang akhbar Ops HRA Tahun 2025 di sini pada malam Khamis.
Sementara itu, Mohd Zamri berkata, pihaknya mengeluarkan sebanyak 940 saman sejak Ops dijalankan bermula 24 Mac lalu sehingga semalam."Selain itu, lain-lain notis sebanyak 603 telah dikeluarkan serta lapan kenderaan turut disita dalam ops dijalankan.
"Saman tersebut dikeluarkan selepas pemeriksaan dijalankan ke atas 5,544 kenderaan," ujarnya.
Selain itu, Mohd Zamri berkata, pihaknya akan memantau beberapa laluan dikenal pasti berbahaya yang sering berlaku kemalangan di negeri ini sempena sambutan Aidilfitri nanti.
"Ia melibatkan dua jalan di daerah Kuala Terengganu, empat jalan di Marang, dua jalan di Kemaman, tiga jalan di Dungun, empat di Hulu Terengganu, tiga di Setiu dan dua jalan di Besut.
"Kesemua jalan itu akan dipantau bagi memastikan pengguna mengikut peraturan serta melancarkan perjalanan pulang ke kampung," katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
