Aidilfitri suram selepas hidap penyakit kronik

Lebih memeritkan bapa kepada empat anak berusia lapan hingga 18 tahun ini turut mengalami masalah tulang reput dan kelenjar adrenal yang tidak aktif.
Wan Mohd Firdaus berkata, dia tidak boleh bekerja dan ada ketika hanya terlantar di rumah akibat penyakitnya itu.
"Saya perlu makan ubat steroid setiap hari yang mengakibatkan berlaku 'cushing syndrome' sekali gus memberi kesan kepada sistem tubuh," katanya.
Dia ditemui selepas menerima bantuan pada Program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri Yayasan Petronas yang disampaikan oleh Exco Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Negeri Kelantan, Rohani Ibrahim di sini pada Rabu.
Seramai 400 orang menerima sumbangan pada program itu yang turut dihadiri Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli.
Bercerita lanjut, Wan Mohd Firdaus memberitahu, hospital kini menjadi rumah keduanya kerana terpaksa berulang-alik sehingga tiga kali sebulan.
"Akibat gout ini, saya mengalami luka-luka teruk di kaki dan berdarah yang memerlukan penjagaan rapi bagi mengelakkan jangkitan kuman," katanya.
Tambahnya, kos untuk membeli set cucian luka ialah kira-kira RM300 sebulan hanya melalui dalam talian kerana lebih murah berbanding pembelian di farmasi.
Dia juga reda selepas disahkan mengalami masalah rabun mata dan katarak namun dinasihatkan tidak meneruskan pembedahan menukar manik mata bagi mengelakkan banyak impak lain terhadap kesihatan.
Bagaimanapun, Wan Mohd Firdaus bersyukur kerana isteri dan anak-anaknya setia di sisi menjaga dan menemaninya setiap waktu.
Katanya lagi, dengan keadaannya yang tidak mampu mengurus diri menyebabkan isteri, Nor Khairidah Khairul Anuar, 38, sentiasa bersama untuk membantu memenuhi keperluan harian.
Justeru katanya, Nor Khairidah tidak dapat keluar bekerja dan terpaksa menjual kuih-muih sejuk beku yang dimasak sendiri melalui dalam talian.
Jelasnya lagi, hasil jualan isteri dan bantuan kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan tidak mencukupi untuk perbelanjaan mereka.
"Alhamdulillah, anak-anak sangat memahami keadaan keluarga dan mereka tidak pernah meminta malah sentiasa berada di rumah bersama kami," katanya.
Katanya lagi, sebelum ini dia dan isteri berniaga di kantin sekolah namun terpaksa berhenti selepas keadaannya kesihatannya semakin merudum.
"Sejak itu kami hanya meneruskan kehidupan dengan rezeki yang ada dan berharap akan ada perubahan positif dengan kesihatan saya," katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Nor Khairidah di talian 012-2548884 atau menyalurkannya terus ke nombor akaun Maybank 112223128620.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
