TNB perkasa masjid melalui sumbangan zakat wakalah Ramadan

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyalurkan RM400,000 dalam bentuk zakat wakalah kepada 20 masjid terpilih di sekitar Pulau Pinang menerusi program Ihya Ramadan tahun ini.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid berkata, pemberian sumbangan kepada masjid terlibat dibuat bagi memperkukuh peranannya sebagai pusat komuniti yang progresif dan inklusif.
Menurutnya, setiap masjid menerima sumbangan RM20,000 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kebajikan dan pembangunan komuniti yang berterusan selain penambahbaikan fasiliti seperti pembaikan bumbung, sistem penyaman udara, lampu, ruang solat, tandas tambahan serta pemasangan sistem audio visual.
"Inisiatif ini bukti komitmen TNB memperkukuh peranan masjid sebagai pusat komuniti yang penting buat pembangunan sosial dan kesejahteraan setempat terutamanya dalam membina masa depan lebih sejahtera untuk masyarakat.
“TNB bukan sekadar pembekal tenaga elektrik, kami juga sebahagian daripada komuniti. Sumbangan zakat wakalah ini tanggungjawab kami terhadap institusi keagamaan demi memastikan masjid kekal sebagai tempat yang memberi perlindungan, sokongan dan harapan kepada golongan memerlukan.
"Sejajar semangat Ramadan, kami berharap sumbangan ini membawa makna besar buat rakyat sama ada dalam bentuk kemudahan yang lebih baik atau bantuan terus kepada golongan kurang berkemampuan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sesi penyerahan turut dihadiri dan disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena majlis perasmian Masjid Jamek Perai.
Abdul Razak memaklumkan, pendekatan sedemikian juga mencerminkan sokongan TNB terhadap aspirasi Malaysia Madani yang menitikberatkan nilai kemampanan, kesejahteraan dan keterangkuman sosial.
Tambahnya, dengan memperkasa institusi keagamaan, ia akan membantu golongan memerlukan sekali gus memupuk nilai keprihatinan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
"Dalam usaha berterusan, TNB turut mengadakan program Ihya’ Ramadan di Kompleks Balai Islam An-Nur, Bangsar melalui aktiviti harian seperti solat tarawih, iftar dan agihan lebih 2,000 pek makanan.
"Justeru, orang ramai dijemput hadir bagi merasai suasana meriah di penghujung Ramadan sambil mengeratkan silaturahim," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

