DBP perlu kuasa untuk martabatkan bahasa Melayu

PUTRAJAYA - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu diberi kuasa dalam melaksanakan dan menjayakan gagasan bahasa Melayu sebagai bahasa negara.
Felo Penyelidik Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seng berkata, dengan kuasa tersebut ia membolehkan DBP menjalankan aktiviti penguatkuasaan termasuk mengenakan tindakan dan denda kepada pihak yang tidak mengutamakan bahasa Melayu termasuk di sektor awam.
“Sekarang ini DBP hanya mampu membuat teguran dan menyatakan kekesalan mereka sahaja terhadap pihak yang lebih mengutama bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu kerana tiada sebarang akta atau peruntukan khas untuk badan itu walaupun peruntukan itu ada di dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152 lebih kepada penggunaan bahasa Melayu secara rasmi oleh agensi kerajaan,” katanya pada Selasa.
Menurut beliau, bahasa Melayu wajib dimartabatkan oleh semua pihak terutamanya sektor awam.
“Kita harus akui, ada agensi kerajaan sendiri yang tidak menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi mereka.
“Jadi, ini sesuatu yang cukup malang kerana sudah 68 tahun Malaysia merdeka namun kita masih berbicara mengenai perkara asas yang sepatutnya telah lama selesai,” jelas Kok Seng.
Terdahulu DBP menegur sikap sesetengah penjawat awam di kementerian atau jabatan kerajaan yang lebih mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu dalam menamakan program, premis, kursus mahupun kempen.
Ketua Pengarahnya, Dr Hazami Jahari berkata, teguran juga diberikan kepada penganjur dan pihak pengurusan yang menggunakan bahasa Inggeris dalam acara rasmi kerajaan yang dihadiri oleh rakyat Malaysia.
Beliau kesal, penggunaan bahasa Inggeris rancak dipopularkan untuk paparan umum seperti nama program Back to School dan KL Car Free Morning, sedangkan sudah tentu majoriti yang terlibat dalam program tersebut adalah rakyat Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

