Kebakaran hutan di Korea Selatan makin buruk

KEBAKARAN hutan yang semakin buruk di tenggara Korea Selatan telah mengancam Perkampungan Rakyat Hahoe yang disenaraikan sebagai Tapak Warisan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Lebih 12 titik panas berbeza direkodkan sejak akhir minggu lalu setelah bencana itu meragut 19 nyawa.
Cuaca kering berangin dikatakan telah menghalang usaha untuk mengekang api daripada terus marak.
Pemangku Menteri Dalam Negeri dan Keselamatan, Ko Ki-dong memaklumkan kebakaran hutan itu telah memusnahkan kira-kira 17,000 hektar kawasan dan ratusan struktur.

Tahap kebinasaan setakat ini menjadikannya sebagai kebakaran kolektif ketiga terbesar dalam sejarah negara Asia Timur tersebut selepas bencana sama pada April 2000 yang mengakibatkan kira- kira 23,913 hektar kawasan di pantai timur musnah.
Susulan ancaman yang semakin meningkat, pemerintah telah mengisytiharkan darurat di empat wilayah selain lebih 23,000 penduduk diarahkan berpindah berikutan lima kebakaran masih aktif sehingga Rabu.
“Angin bertiup sangat kencang, api merebak dari kawasan gunung ke rumah saya. Mereka yang tiada pengalaman menghadapi situasi seperti ini hanya mahu menyelamatkan diri dan tinggalkan rumah sehelai sepinggang,” kata Kwon So-han, 79, di Andong.

Pihak berkuasa bertindak mengeluarkan amaran segera tentang kebakaran hutan Uiseong Angye semakin hampir dengan perkampungan yang menjadi lokasi tumpuan pelancongan itu.
Api marak dengan cepat
Di Uiseong, kepulan asap tebal terus menyelubungi permukaan udara berikutan usaha mengawal api di kawasan itu telah menurun daripada 65 kepada 55 peratus.
Pada mulanya, kakitangan Pusat Penjagaan Warisan Budaya turut mengambil langkah segera memindahkan beberapa artifak berharga dari Kuil Gounsa yang berusia 1,300 tahun.

Usaha itu bagaimanapun gagal selepas kuil itu turut terbakar beberapa jam kemudian.
Selain itu, pihak berkuasa juga melakukan pemindahan ke atas kira-kira 3,500 banduan di daerah Cheongsong dan Andong ke pusat tahanan berhampiran.
Difahamkan, lebih 6,700 anggota bomba telah dikerahkan untuk mengawal kebakaran itu dengan hampir dua perlima daripadanya dihantar ke Uiseong.

Perdana Menteri, Han Duck-soo ketika mesyuarat Kabinet memberitahu bencana itu dipercayai berpunca daripada kecuaian manusia.
“Orang ramai sepatutnya mematuhi garis panduan kebakaran hutan untuk mengelakkan bencana tidak dijangka seperti ini,” tegasnya.
Kebakaran itu bermula di daerah Sancheong di wilayah Gyeongsang Utara pada lewat Jumaat lalu sebelum ia merebak ke daerah Uiseong yang terletak kira-kira 180 kilometer dari tenggara Seoul dan semakin marak di Andong, Cheongsong, Yeongyang dan Yeongdeok.
Sejak awal Mac, negara jiran Jepun juga berdepan situasi sama dan ia disifatkan sebagai kebakaran hutan terburuk dalam tempoh lebih separuh abad.
Bencana itu telah membinasakan kira- kira 2,900 hektar kawasan dan menyebabkan seorang terkorban. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

