Takut ditangkap, jururawat rugi RM144,000

KUANTAN- Seorang jururawat sanggup membuat pemindahan wang sebanyak RM144,000 bagi mengelak dirinya ditangkap selepas didakwa terlibat dalam jenayah pengubahan wang haram.
Mangsa berusia 39 tahun mengalami kerugian tersebut selepas menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai polis pada 18 Januari lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek mendakwa akaun bank mangsa digunakan dalam kegiatan haram dan mengarahkannya membuat laporan bagi membantu siasatan.
"Mangsa menafikan dakwaan itu, namun suspek terus mendesaknya supaya mengaku, selain mengugut akan menangkapnya jika tidak menurut arahan.
"Mangsa kemudian membuat pemindahan wang ke dalam tiga akaun bank sehingga mengalami kerugian sebanyak RM144,000," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Yahaya memaklumkan, berdasarkan laporan, wang yang dipindahkan adalah simpanan peribadi dan pinjaman bank yang dibuat oleh mangsa.
"Mangsa berasa curiga kerana wang tersebut tidak dikembalikan bagi tempoh yang lama dan tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan," katanya.
Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai supaya tidak melayan panggilan yang mencurigakan, terutamanya daripada individu tidak dikenali, lebih-lebih lagi melibatkan arahan pemindahan wang atau pengesahan maklumat peribadi.
Tegasnya, masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

