Restoran di Shanghai jual hidangan ayam RM292

SHANGHAI – Sebuah restoran di Shanghai mencetuskan kontroversi dalam talian apabila menjual hidangan ayam separuh pada harga mencecah 480 yuan (RM292), dengan mendakwa ayam tersebut dibesarkan sambil mendengar muzik klasik dan diberi minum susu.
Rakaman video seorang pelanggan yang terkejut dengan harga tinggi hidangan berkenaan telah menarik lebih empat juta tontonan di media sosial sejak ia tular pada 14 Mac lalu.
Dalam video itu, seorang ahli perniagaan yang juga pempengaruh dengan 270,000 pengikut di media sosial dilihat bertanya kepada kakitangan restoran mengenai dakwaan berhubung harga dan cara ayam itu dibesarkan.
Kakitangan restoran mengesahkan perkara tersebut dan menjelaskan bahawa ayam itu merupakan baka istimewa dikenali sebagai sunflower chicken, yang hanya diternak di sebuah ladang khas di wilayah Guangdong, selatan China.

Sunflower chicken adalah sebahagian daripada baka ayam tiga kuning atau dikenali sebagai ayam maharaja. Ia terkenal dengan daging yang lembut serta kulit berwarna kuning keemasan dan menjadi pilihan dalam kalangan cef restoran bertaraf Michelin.
Difahamkan, harga ayam ini boleh mencecah lebih 200 yuan (RM121) sekilogram, manakala seekor sunflower chicken yang dijual di restoran boleh mencapai harga 1,000 yuan (RM613).
Bagaimanapun, seorang kakitangan ladang ayam berkenaan menjelaskan kepada media tempatan bahawa ayam tersebut memang didedahkan kepada muzik klasik tetapi tidak pernah diberi susu seperti yang didakwa.
Kisah ini mendapat pelbagai reaksi di media sosial, dengan ramai pengguna menyindir restoran berkenaan kerana menetapkan harga terlalu tinggi dengan alasan yang tidak masuk akal.
"Hairan bagaimana seseorang boleh mencipta cerita pelik untuk menjual produk mereka," kata seorang pengguna.
Seorang lagi netizen secara sinis berkata, "Kalau begitu, bolehkah ayam saya dijual pada harga 1,888 yuan (RM1,151)? Mereka dibesarkan sambil mendengar muzik tradisional Shanxi."
Beberapa pengguna media sosial mengaitkan harga tinggi ini dengan fenomena mata wang Shanghai, istilah yang digunakan untuk menggambarkan kos sara hidup yang tinggi dan perbelanjaan mewah di bandar itu.
Sebagai perbandingan, satu lagi trend mewah di Shanghai sebelum ini ialah roti bakar Jepun seberat 800 gram yang dijual pada harga 98 yuan (RM60) seketul, sedangkan produk yang sama dijual separuh harga di Jepun.
Menurut data kerajaan China, pendapatan boleh guna per kapita penduduk Shanghai pada tahun 2024 adalah 88,366 yuan (RM53,894), dua kali ganda berbanding purata nasional, yang menjelaskan trend perbelanjaan mewah yang semakin meningkat di bandar metropolitan tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

