Tiada keperluan rombak Kabinet – Azli

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka tidak melakukan rombakan Kabinet dalam masa terdekat meskipun terdapat spekulasi susulan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP baru-baru ini. Gambar kecil dari kiri: Azli, Tengku Zafrul, Hui Ying, Steven, dan Kulasegaran
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka tidak melakukan rombakan Kabinet dalam masa terdekat meskipun terdapat spekulasi susulan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP baru-baru ini. Gambar kecil dari kiri: Azli, Tengku Zafrul, Hui Ying, Steven, dan Kulasegaran
A
A
A

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka tidak melakukan rombakan Kabinet dalam masa terdekat meskipun terdapat spekulasi susulan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP baru-baru ini.

Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof berkata, setakat ini tiada maklumat mengenai kemungkinan perubahan dalam barisan Kabinet.

“Secara peribadi saya melihat tiada keperluan untuk Perdana Menteri melakukannya kerana jentera Kerajaan Madani ketika ini berfungsi dengan baik.

“Tambahan pula, Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengadakan pemilihan jawatan tertinggi, termasuk kerusi Presiden pada Mei depan.

“Bagaimanapun, saya tidak menolak kemungkinan rombakan kecil hanya akan berlaku kerana Perdana Menteri perlu melantik pengganti Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang bakal tamat tempoh sebagai Ahli Dewan Negara pada Disember nanti,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas khabar angin bahawa Anwar akan melakukan rombakan kecil terhadap Kabinet susulan keputusan pemilihan CEC DAP, yang menyaksikan beberapa pemimpin tewas atau memilih untuk tidak bertanding.

Antaranya, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, yang juga anak kepada pemimpin veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, hanya memperoleh 1,573 undi, sekadar menduduki tempat ke-31 daripada 64 calon bertanding.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran pula memilih untuk tidak bertanding dalam CEC bagi memberi laluan kepada pemimpin muda.

Perkembangan ini mencetuskan spekulasi bahawa Hui Ying dan Kulasegaran mungkin digantikan dalam rombakan Kabinet kecil yang dikatakan akan diumumkan tidak lama lagi.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Timbalan Setiausaha Agung DAP yang baharu, Steven Sim menyerahkan keputusan itu kepada budi bicara Perdana Menteri dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Desas-desus mengenai rombakan Kabinet semakin hangat selepas bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming dalam satu podcast berbahasa Cina mendedahkan bahawa DAP mungkin berpeluang menukar menteri dan timbalan menteri pada Disember ini apabila tempoh Tengku Zafrul sebagai senator berakhir.

Namun begitu, Anthony Loke sebelum ini menegaskan bahawa pemilihan CEC DAP tidak akan menjejaskan kedudukan mana-mana menteri atau timbalan menteri daripada parti itu.

Sehingga kini, tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat berhubung perkara tersebut, namun spekulasi terus menjadi bualan politik tanah air.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!