Perang habis-habisan ke atas Gaza pada minggu akhir Ramadan

Beberapa staf cuba memadamkan kebakaran di Jabatan Kecemasan di Hospital Nasser di Khan Yunis yang dibom IDF.
Beberapa staf cuba memadamkan kebakaran di Jabatan Kecemasan di Hospital Nasser di Khan Yunis yang dibom IDF.
A
A
A

GENTING GAZA - Rejim Zionis terus memperhebatkan kempen pengeboman ke atas Genting Gaza yang sudah pun berlarutan selama seminggu dan meragut lebih 700 nyawa.

Gencatan senjata rapuh yang dicapai antara Hamas dan Israel pada 19 Januari lalu hanya dapat bertahan selama kira-kira dua bulan dan komuniti antarabangsa sekali lagi gagal memberi tekanan kepada rejim Tel Aviv supaya menghentikan perang genosid di wilayah itu.

Kepulan asal tebal memenuhi ruang udara selepas hujan peluru Zionis menyasarkan 'bandar khemah' di tengah Gaza.
Kepulan asal tebal memenuhi ruang udara selepas hujan peluru Zionis menyasarkan 'bandar khemah' di tengah Gaza.

Kerajaan 'ekstremis' pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berulang kali mengancam untuk mengilhak kawasan di Gaza jika Hamas gagal mematuhi tuntutan mengarut mereka.

Zionis memberi alasan operasi ketenteraan itu dilancarkan semula kononnya kerana Hamas enggan akur dengan cadangan Wakil Khas Rumah Putih, Steve Witkoff supaya melanjutkan fasa pertama gencatan senjata yang berakhir pada 2 Mac lalu.

Beberapa petuga media termasuk wartawan Palestin antara yang gugur syahid pada akhir minggu lalu.
Beberapa petuga media termasuk wartawan Palestin antara yang gugur syahid pada akhir minggu lalu.

Witkoff cuba menuding jari menyalahkan Hamas sedangkan perjanjian asal menetapkan rundingan untuk fasa kedua sepatutnya berlangsung ketika ini.

Sejak Genting Gaza kembali dihujani bom, Menteri Keselamatan, Itamar Ben-Gvir dikatakan telah menyertai semula kerajaan gabungan haluan kanan Netanyahu.

Artikel Berkaitan:

Dua ambulans di kem pelarian al-Maghazi turut menjadi sasaran bedilan Zionis.
Dua ambulans di kem pelarian al-Maghazi turut menjadi sasaran bedilan Zionis.

Ben-Gvir dan partinya, Otzma Yehudit bertindak meninggalkan pakatan tersebut selepas ia menentang perjanjian gencatan senjata bersama Hamas.

Beberapa pakar melihat Pasukan Pertahanan Israel (IDF) sebenarnya mahu melancarkan 'perang habis-habisan' untuk menduduki Gaza secara kekal jika Hamas masih enggan melanjutkan tempoh perjanjian fasa pertama.

Terus ugut Hamas

Pensyarah kanan di Pusat Pengajian Keselamatan di King's College London, Andreas Krieg berpendapat matlamat lain operasi itu mungkin ada kaitan dengan idea tidak masuk akal Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mahu mengambil alih enklaf berkenaan dan menjadikannya sebagai 'Riviera Asia Barat'.

Kebanyakan ahli keluarga baki 59 tawanan turut menggesa pelaksanaan semula tempoh bertenang.

“Kami perlu mengatakan dengan jelas bahawa tindakan IDF kembali berperang hanya akan mengancam nyawa kumpulan tersebut. Ia bukanlah keputusan yang boleh diterima oleh kami,” ujar wakil ahli keluarga tebusan berkenaan.

Khemah sementara yang menjadi tempat berlindung penduduk di Bandar Gaza musnah akibat kempen pengeboman ganas sejak seminggu lalu.
Khemah sementara yang menjadi tempat berlindung penduduk di Bandar Gaza musnah akibat kempen pengeboman ganas sejak seminggu lalu.

Pada Jumaat lalu, Menteri Pertahanan, Israel Katz mengarahkan askar Zionis supaya mengilhak kawasan di Gaza jika Hamas masih enggan tunduk dengan syarat mereka.

“Kami tidak akan berhenti selagi kesemua baki tawanan dibebaskan dan Hamas tidak lagi mengawal Gaza serta menjadi ancaman kepada Israel,” katanya dengan angkuh.

Sehingga kini, masih tidak jelas pelan pasca perang di Gaza walaupun kerajaan Netanyahu menyokong penuh rancangan Trump.

IDF sendiri enggan mengulas tentang pelan operasi pada masa depan, sekali gus mengesahkan Israel sekali lagi melancarkan 'operasi caca marba' tanpa objektif jelas dan semata-mata memenuhi kepentingan politik Netanyahu yang ketika ini berdepan perbicaraan kes rasuah. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!