Jurukimpal kendali harta Daesh, miliki video pengganas dijel lima tahun

KUALA LUMPUR – Seorang jurukimpal dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa atas 15 pertuduhan mengendalikan wang berkaitan pengganas Daesh serta satu pertuduhan memiliki dua video kumpulan pengganas itu pada 2015 dan 2016.
Rosdy Benjamin, 45, dikenakan hukuman selepas mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.
Dalam penghakimannya, hakim berkata mahkamah mengambil kira kepentingan awam serta keseriusan kesalahan tertuduh, sekali gus menjadi pengajaran kepada tertuduh dan orang lain agar tidak mengulangi perbuatan sama.
"Saya juga mengambil kira pengakuan salah tertuduh yang menjimatkan masa dan kos semua pihak, selain ini merupakan kesalahan pertama tertuduh," katanya.
Mengikut 15 pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa mengendalikan harta pengganas membabitkan dua individu dengan membenarkan kemasukan wang berjumlah RM63,450 dan pengeluaran sebanyak RM62,801.06 bagi manfaat kumpulan pengganas tersebut.
Kesalahan itu dilakukan melalui akaun Maybank miliknya di Pasir Gudang, Johor Bahru, antara 25 Februari 2015 hingga 3 Jun 2016.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130Q(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda, selain harta yang dikendalikan boleh dirampas jika sabit kesalahan.
Bagi satu lagi pertuduhan, dia didakwa memiliki dua video berkaitan kumpulan pengganas Daesh dalam telefon bimbit di Taman Scientex, Pasir Gudang, pada 24 Ogos 2023.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum bawah subseksyen 130JB(1) kanun sama, dengan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, selain lucut hak bahan tersebut jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh mengendalikan harta pengganas melalui 15 transaksi menggunakan perkhidmatan ejen pengiriman wang bagi pihak dua individu yang mempunyai kaitan dengan Daesh.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Maryam Jamielah Ab Manaff berkata pengakuan salah tertuduh menjimatkan masa dan kos mahkamah. Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran.
“Saya menyerahkan budi bicara mahkamah untuk menjatuhkan hukuman penjara, sama ada berjalan secara serentak atau berasingan,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Yazid Mustaqim Roslan.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana perlu menyara tiga anak, seorang isteri, serta ibu bapanya di Mindanao, Filipina.
“Saya tiada niat untuk terlibat dalam kes keganasan ini, tetapi saya telah ditipu dan diperangkap. Saya berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa depan,” katanya yang memakai baju T putih.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Muhammad Jamil menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi kesalahan memiliki video pengganas serta lima tahun bagi setiap pertuduhan mengendalikan harta pengganas.
Mahkamah memerintahkan hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan, iaitu 24 Ogos 2023.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

