Warga emas maut nahas dua kenderaan

MUAR - Seorang warga emas maut apabila motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Parit Bakar, di sini pada Selasa.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Penguasa Bomba Kanan 2 Mohamad Syafiq Mohamad Zin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan berkenaan pada jam 6.13 pagi.
Katanya, sebaik menerima laporan berkenaan, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu unit Perkhidmatan, Perawatan, Penyelamatan, Kecemasan (EMRS) dengan sembilan anggota bergegas ke lokasi.

"Kemalangan melibatkan sebuah motosikal Honda Wave dengan kereta Perodua Axia.
"Kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal, Saim Mok, 68, tercampak ke dalam parit sedalam satu meter akibat perlanggaran tersebut.
"Pasukan mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas bagaimanapun mangsa disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Pemandu Perodua Axia pula dilaporkan tidak berada di lokasi ketika operasi menyelamat dijalankan.

Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
