UMNO Kelantan sokong had tempoh PM, tapi perlu bahas secara demokratik

Cadangan had tempoh jawatan Perdana Menteri harus dibahas secara demokratik di Parlimen. - Gambar hiasan.
Cadangan had tempoh jawatan Perdana Menteri harus dibahas secara demokratik di Parlimen. - Gambar hiasan.
A
A
A

KOTA BHARU – Cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau tidak lebih daripada 10 tahun perlu dibahaskan secara demokratik di Parlimen bagi memastikan keputusan yang dibuat benar-benar mewakili suara rakyat.

Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, berkata sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, sebarang perubahan besar seperti ini memerlukan perbahasan yang teliti dan tidak boleh diputuskan secara tergesa-gesa.

Beliau menegaskan bahawa isu ini bukan sesuatu yang boleh ditentukan oleh satu pihak sahaja.

“Ahli Parlimen dipilih oleh rakyat dan mereka perlu memainkan peranan dalam menyuarakan pandangan rakyat terhadap cadangan ini.

“Jika majoriti bersetuju, maka ia boleh dilaksanakan. Jika tidak, kita kekalkan sistem sedia ada,” katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Makan Colek bersama Media Kelantan di sini, pada Isnin.

Menurutnya, setiap cadangan yang melibatkan perubahan dalam sistem pemerintahan negara perlu mengambil kira manfaat jangka panjang serta kestabilan politik.

“Jika had tempoh Perdana Menteri ini membawa lebih banyak kebaikan daripada keburukan, maka wajarlah kita mempertimbangkannya.

“Namun, jika ada kelemahan, perbincangan lanjut perlu dibuat supaya sistem ini tidak memberi kesan negatif kepada pentadbiran negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Jazlan turut menegaskan bahawa cadangan ini masih di peringkat perbincangan dan tidak perlu dijadikan isu politik yang hanya mengalihkan perhatian daripada perkara lebih penting.

“Banyak lagi isu rakyat yang perlu diberikan perhatian.

“Jangan terlalu ghairah mempolitikkan sesuatu perkara sehingga mengabaikan tanggungjawab utama kepada rakyat seperti masalah air,” katanya.

Menurut beliau, UMNO Kelantan menyokong cadangan Perdana Menteri itu dengan syarat ia benar-benar memberikan kebaikan kepada rakyat dan negara.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan kesediaan kerajaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Beliau menekankan bahawa langkah ini memerlukan konsensus semua parti serta sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen sebelum dapat dilaksanakan.

Anwar turut menegaskan bahawa proses ini tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa dan perlu melalui rundingan yang teliti bagi memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!