Ramadan jadi peringatan tentang kasih sayang telah tiada

Nurul Amal (berdiri, tengah) bersama penerima yang juga merupakan anak-anak yatim dan kurang bernasib baik.
Nurul Amal (berdiri, tengah) bersama penerima yang juga merupakan anak-anak yatim dan kurang bernasib baik.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Ramadan adalah bulan penuh keberkatan, namun bagi anak-anak yatim, ia sering kali menjadi waktu yang mengingatkan mereka tentang kehilangan dan kesunyian.

Menyedari hakikat ini, Yayasan Bank Rakyat (YBR) tampil membawa sinar kebahagiaan dengan menganjurkan Majlis Iftar Bersama Anak-Anak Yatim Pusat Jagaan An-Najjah Malaysia serta anak-anak kurang bernasib baik sekitar Kuala Lumpur.

Majlis diadakan di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur itu bukan sekadar hidangan berbuka puasa, tetapi juga lambang kasih sayang dan perhatian buat mereka yang tidak memiliki keluarga untuk berkongsi kegembiraan.

Nurul Amal (tengah) menyampaikam duit raya kepada penerima pada majlis berkenaan.
Nurul Amal (tengah) menyampaikam duit raya kepada penerima pada majlis berkenaan.

Lebih menyentuh hati, YBR turut menyampaikan sumbangan tunai berjumlah RM3,000 kepada 30 penerima, bagi membantu mereka membuat persiapan menyambut Syawal seperti kanak-kanak lain.

Majlis penuh makna ini disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, yang menegaskan bahawa setiap kanak-kanak berhak merasakan kegembiraan di bulan Ramadan.

"Kami percaya bahawa setiap anak-anak ini mempunyai impian untuk menikmati suasana Ramadan dan Syawal seperti rakan sebaya mereka.

"Melalui program ini, kami berharap dapat membawa sedikit cahaya dalam kehidupan mereka dan memastikan mereka tidak merasa tersisih," ujarnya ketika ditemui pemberita pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani, Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd Rahman, serta Ketua Bahagian Pentadbiran Korporat, Khairul Na’im Arifin.

Sementara itu, Setiausaha Pusat Jagaan An-Najjah Malaysia, Siti Hawa Adnan pula tidak dapat menyembunyikan rasa syukur atas keprihatinan YBR yang saban tahun sudi menceriakan anak-anak di bawah jagaannya.

“Bagi anak-anak yang kurang bernasib baik ini, setiap kali Ramadan tiba, ia menjadi peringatan tentang kasih sayang yang telah tiada.

"Namun, dengan adanya bantuan sebegini, mereka berasa dihargai dan tidak dilupakan. Ia memberi mereka kegembiraan dan semangat untuk menyambut Aidilfitri dengan hati yang lebih tenang,” ujarnya.

Bagi anak-anak ini, kehadiran tetamu yang sudi meluangkan masa berbuka bersama mereka sudah cukup memberikan rasa bahagia.

Senyuman mereka sepanjang majlis menggambarkan betapa kecilnya perhatian yang diperlukan untuk membuat mereka merasa disayangi.

Sehubungan itu, YBR berharap agar lebih ramai pihak tampil membantu dan menyebarkan kasih sayang kepada golongan yang kurang bernasib baik.

Bagi mereka yang ingin menyalurkan sumbangan atau menyumbangkan sedikit kegembiraan kepada anak-anak yatim ini, boleh menghubungi Pusat Jagaan An-Najjah Malaysia di talian 019-2550127.

Majlis iftar ini juga adalah sebahagian daripada usaha berterusan YBR dalam menyantuni komuniti dan memperkukuh hubungan dengan masyarakat.

Melalui program-program kebajikan seperti ini, YBR bukan sahaja memberi bantuan secara langsung kepada mereka yang memerlukan, tetapi juga berusaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan badan bukan berkeuntungan dalam membantu membangun dan memperkasa pendidikan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!