Larangan pamer produk rokok di kaunter bermula 1 April depan

PUTRAJAYA - Larangan pameran produk merokok di kaunter jualan di bawah Peraturan 6, Peraturan-Peraturan Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Kawalan Penjualan) 2024 bakal bermula 1 April depan.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi kenyataan memaklumkan ia susulan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 [Akta 852] bersama-sama peraturan dan perintah yang berkaitan di bawahnya mulai 1 Oktober tahun lalu.
Menurut KKM, perintah larangan itu melibatkan sebanyak 51,000 kedai yang menjual produk merokok di seluruh negara.
"Bagi memastikan pematuhan terhadap kawalan yang ditetapkan, KKM telah menetapkan pendekatan penguatkuasaan secara berfasa yang berhemah, berhikmah dan berkesan," katanya pada Isnin.
Mengambil kira keberkesanan dan praktikaliti pelaksanaan di beberapa negara lain, kementerian itu berkata, kaedah yang dianggap paling sesuai bagi pelaksanaan larangan pameran ini adalah dengan menyediakan almari bertutup
berbanding penggunaan kain atau kanvas.
"Perkara ini sangat penting bagi mengelakkan sebarang ketidakpatuhan yang boleh memberi ruang kepada aktiviti promosi secara tidak langsung yang bertentangan dengan semangat dan maksud larangan pameran tersebut," jelasnya.
Justeru, KKM akan terus bekerjasama dengan pekedai untuk memastikan pemasangan almari bertutup dibuat mengikut spesifikasi dan pematuhannya dipantau rapat dari semasa ke semasa.
"Proses ini dijangka selesai sepenuhnya menjelang 1 Oktober tahun ini," katanya.
Akta 852 merangkumi peraturan pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan dan larangan merokok di tempat awam.
Akta itu mengenakan syarat lebih ketat terhadap peniaga rokok dan vape, termasuk larangan mempamerkan produk terbabit secara terbuka di premis perniagaan.
Bagi kesalahan pertama, denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih setahun, atau kedua-duanya, boleh dikenakan, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda tidak lebih RM30,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!