Larangan pemanduan kenderaan barangan dua hari sebelum, selepas Aidilfitri

SEMENYIH - Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia akan melaksanakan penguatkuasaan larangan pemanduan ke atas kenderaan barangan bersempena Hari Raya Aidilfitri.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, larangan itu akan dikuatkuasakan selama empat hari iaitu sebelum dan selepas raya pada 29 dan 30 Mac serta 5 dan 6 April.
Beliau berkata, pelaksanaan itu dibuat dengan mengambil kira peningkatan trafik yang ketara khususnya bagi kenderaan persendirian yang akan bergerak pulang ke kampung halaman.
Menurutnya, tujuan utama 'road-ban' itu mengelakkan kesesakan lalu lintas serta mengurangkan risiko nahas jalan raya akibat percampuran trafik antara kenderaan barangan dengan kenderaan persendirian.

"Pihak MOT dan JPJ ingin mengingatkan kepada semua pemilik dan pemandu kenderaan barangan supaya mematuhi larangan pemanduan tersebut.
"Sekiranya terdapat kenderaan yang gagal mematuhinya boleh dikenakan kompaun sebanyak RM300 atau denda di Mahkamah tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan jika disabitkan kesalahan," katanya dalam sidang akhbar pada Isnin.
Beliau berkata demikian selepas meninjau operasi khas dan majlis berbuka puasa bersama anggota penguatkuasa di Stesen Penguatkuasa JPJ Semenyih, di sini.
Hadir sama Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan, Datuk Aedy Fadly Ramli; Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, sebagai usaha berterusan MOT dan JPJ untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya khususnya di musim perayaan, pihak JPJ juga akan melaksanakan aktiviti penguatkuasaan dengan strategi secara menyeluruh dan berfokus.
Jelasnya, menerusi Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri Tahun 2025 bermula 24 Mac hingga 8 April 2025 di seluruh negara, operasi tersebut akan memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang melanggar peraturan-peraturan atau undang-undang jalan raya yang berkuat kuasa.
Sehubungan itu katanya, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi peraturan-peraturan jalan raya yang telah ditetapkan serta memastikan aspek keselamatan menjadi keutamaan semasa memandu.
Tambahnya, orang ramai boleh melaporkan sebarang aduan berkaitan kesalahan lalu lintas sepanjang musim perayaan melalui aplikasi MyJPJ menu e-Aduan@jpj atau melalui emel rasmi aduan JPJ aduantrafik@jpj.gov.my.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!