'Jika ikhlas perjuangkan Melayu, bubar Bersatu kembali pada UMNO'

Ismail Lasim
Ismail Lasim
A
A
A

SEREMBAN - Pemimpin parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu kembali ke pangkuan UMNO sekiranya benar-benar ikhlas dalam memperjuangkan Melayu.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, mereka yang rata-ratanya adalah bekas ahli parti itu sebaiknya mengakui kesilapan diri.

"Kesimpulannya, pemimpin Bersatu tidak benar-benar ikhlas dalam perjuangan Melayu.

"Jika ikhlas, mereka harus akui kesilapan dan kembali ke pangkuan UMNO dan jangan biarkan ego dan dendam politik menjadi punca perpecahan yang merugikan bangsa," katanya dalam kenyataan di Facebook UMNO Negeri Sembilan pada Isnin.

Menurutnya, Bersatu bukanlah natijah kepada usaha untuk memperkukuh bangsa Melayu.

Sebaliknya jelas beliau, kehadiran parti terbabit hanya melemahkan kuasa politik orang Melayu dengan menjadi parti serpihan yang tiada hala tuju jelas.

"Pemimpin-pemimpin yang menubuhkan Bersatu adalah mereka yang gagal dalam UMNO dan dipenuhi dengan jiwa kekecewaan yang tinggi.

"Mereka tidak membawa agenda baharu dan hanya menggunakan sentimen emosi untuk menyerang UMNO demi kepentingan peribadi. Kini, parti tersebut hilang arah dan semakin muflis sokongan rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Ismail, ia jelas dapat dilihat apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sendiri menyatakan hasrat bahawa Bersatu terbuka untuk bekerjasama dengan UMNO.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!