Perjuangan Melayu tidak harus terikat kepada UMNO - Nurul Syazwani

Nurul Syazwani
Nurul Syazwani
A
A
A

SHAH ALAM – Perjuangan Melayu tidak seharusnya terperangkap dalam mentaliti lama yang menganggap UMNO sebagai satu-satunya wadah untuk membela kepentingan rakyat, kata Ketua Penerangan Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Nurul Syazwani Noh.

Beliau menegaskan, pemimpin Melayu perlu menghentikan budaya menyalahkan satu sama lain jika benar-benar ikhlas dalam memperjuangkan bangsa.

“Jika benar ikhlas, bukan hanya Bersatu yang perlu mengakui kesilapan, tetapi semua pemimpin Melayu harus berlapang dada dan mencari titik persamaan demi masa depan bangsa serta generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang itu, retorik lama yang hanya membawa kepada perpecahan politik perlu dihentikan segera agar usaha membela rakyat tidak dihalang oleh dendam politik sempit.

“Berjuang bukan kerana parti, tetapi kerana rakyat. Jika benar mahu membela bangsa, buktikan dengan tindakan, bukan sekadar menyalahkan pihak lain untuk menutup kelemahan sendiri,” tegasnya.

Beliau turut menyeru agar pemimpin politik Melayu mengetepikan ego dan kepentingan peribadi demi memastikan agenda perpaduan dan pembangunan rakyat terus diperjuangkan.

Terdahulu, Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, menyeru pemimpin Bersatu kembali ke pangkuan UMNO dan mengakui kesilapan mereka sekiranya benar-benar ikhlas dalam memperjuangkan bangsa Melayu.

Bagaimanapun, Nurul Syazwani berpendapat perjuangan Melayu tidak seharusnya bergantung kepada satu parti sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama dan pendekatan yang lebih inklusif.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!