Nepal buru tiga mata

"Kami bermain untuk tiga mata,"
Itu reaksi pengendali Nepal, Matthew Barry Ross menjelang aksi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 Kumpulan berdepan skuad Harimau Malaya di Stadium Sultan Ibrahim, pada Selasa.
Menurutnya, perancangan taktikal terbaik juga telah disusun bagi berdepan skuad kendalian Peter Cklamovski itu.
Malah katanya, skuad The Gorkhalis itu juga bakal beraksi dengan agresif dalam usaha mencatatkan kejayaan.
"Jika bermain untuk satu mata, anda akan dapat kosong, jadi kami pilih bermain untuk tiga mata.
"Ini adalah pasukan Nepal yang berwajah baharu dan kami mahu membuktikan bahawa kami boleh bersaing hingga ke peringkat tertinggi dalam saingan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia).
"Kami mahu beraksi seperti mana berdepan Singapura, Jumaat lalu, dan kami mahu pulang dengan 'sesuatu' selain menunjukkan kemampuan kami," katanya pada sidang akhbar pada Isnin.
Untuk rekod, pada aksi 'pemanas badan' Jumaat lalu, skuad The Gorkhalis itu mencatat kejutan tersendiri apabila menewaskan Singapura 1-0 di Stadium Nasional, Singapura.
Sementara itu, Matthew Ross berkata, pihaknya akan memberikan tumpuan kepada pemain-pemain warisan yang bakal beraksi dengan Harimau Malaya, esok.
"Bagi saya, pemain warisan ini akan menampilkan sesuatu yang berbeza, mungkin dari segi kelajuan serta kemahiran teknikal beberapa pemain yang akan menjadi ujian besar kepada kami.
"Bagaimanapun, kami telah bersedia sebagaimana kami bersedia berdepan Harimau Malaya esok yang pastinya akan beraksi menekan kami dengan intensiti tinggi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
