Cklamovski puas hati aksi Harimau Malaya

Pemain Harimau Malaya beraksi mantap berdepan Nepal. Foto Bernama
Pemain Harimau Malaya beraksi mantap berdepan Nepal. Foto Bernama
A
A
A

PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski berpuas hati dengan kemenangan 2-0 ke atas Nepal dalam aksi sulung Kumpulan F, pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Menurutnya, semua pemain berjaya mengekang asakan pasukan lawan, terutama menerusi serangan balas.

"Kesemua pemain memberikan aksi yang baik, dan saya bangga dengan mereka.

"Mereka berikan segalanya dan berjaya melaksanakan apa yang dilatih, walaupun hanya berlatih dalam tempoh singkat," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan.

Pada aksi tersebut, pemain warisan negara, Hector Hevel, membuka jaringan pada minit ke-30 sebelum Corbin Ong menambah satu lagi gol pada minit ke-70.

Cklamovski turut berbangga kerana skuad negara berjaya mengekalkan rekod tanpa bolos dalam perlawanan itu.

Bagaimanapun, beliau menegaskan masih banyak aspek yang perlu diperbaiki bagi memantapkan pasukan.

"Kami masih perlu bekerja keras untuk meningkatkan tahap permainan kerana pasukan ini memiliki potensi besar untuk terus berkembang.

Artikel Berkaitan:

"Namun, yang paling penting, pintu gol kami tidak dibolosi," katanya.

Mengulas mengenai aksi Faisal Halim yang dimasukkan sebagai pemain gantian pada pertengahan babak kedua, Cklamovski menyifatkan pemain itu memberikan impak besar kepada pasukan.

Katanya, kemasukan Faisal, atau lebih dikenali sebagai Mickey, berjaya menambah sengat serangan dan mengucar-ngacirkan pertahanan lawan dengan larian pantasnya.

"Setiap kali menerima bola, dia akan berlari dan cuba memecahkan benteng pertahanan lawan.

"Inilah yang kami perlukan. Ini juga merupakan penampilan semula yang cemerlang selepas sekian lama tidak beraksi bersama pasukan kebangsaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!