Polis siasat 3 anggota trafik buat sekatan jalan raya di Serdang

KUALA LUMPUR - Polis akan melakukan siasatan dalaman terhadap tiga anggotanya yang dirakam dalam video tular mengadakan sekatan jalan raya di persimpangan The Mines di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, siasatan berkenaan adalah bagi menentukan sama ada berlaku salah laku atau pelanggaran garis panduan dalam pelaksanaan sekatan jalan raya.
"Siasatan sedang dijalankan dan Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang tidak akan berkompromi jika terbukti berlaku pelanggaran prosedur semasa sekatan jalan raya diadakan," katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, tular satu video di media sosial berdurasi 1 minit 19 saat yang menunjukkan tiga anggota polis trafik melakukan sekatan jalan raya, sebelum seorang daripada mereka dirakam mengambil sesuatu daripada seorang pemandu kereta yang ditahan.
Anbalagan turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian berkenaan kerana boleh mengganggu siasatan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!