200 kanak-kanak ceria terima baju raya baharu sumbangan YKN

KUCHING – Seramai 200 kanak-kanak daripada kumpulan sasar Yayasan Kebajikan Negara Malaysia (YKN) tidak dapat menyembunyikan kegembiraan mereka apabila menerima sumbangan pakaian raya baharu menerusi Program Sinar Syawal YKN 2025.
Program yang dijayakan dengan tajaan Alliance Islamic Bank Berhad itu berlangsung di Mydin Vista Tunku, Kuching dan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi YKN, Datuk Seri Nancy Shukri.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada pihak bank atas keprihatinan mereka dalam membantu golongan kurang berkemampuan bagi membolehkan mereka turut sama merasai kemeriahan Syawal.
"Inisiatif ini bukan sahaja meringankan beban keluarga yang memerlukan, malah memberi kegembiraan kepada anak-anak ini agar mereka tidak rasa tersisih dalam menyambut Aidilfitri.
"Ia mencerminkan semangat prihatin dan budaya menyantuni golongan memerlukan, selari dengan konsep Malaysia Madani yang menitikberatkan kesejahteraan bersama," katanya.

Program ini menyaksikan 150 kanak-kanak menerima pakaian raya di Mydin Vista Tunku, Kuching, manakala 50 lagi menerima sumbangan yang sama dalam satu majlis di Lundu, semalam.
Selain pakaian raya, Alliance Islamic Bank turut berbesar hati menyumbangkan duit raya kepada 200 kanak-kanak dalam satu lagi program berasingan yang dijadualkan berlangsung minggu depan.
Menurut Nancy, YKN komited dalam memperkukuh kerjasama strategik dengan sektor korporat bagi memastikan kumpulan sasar seperti wanita B40, ibu tunggal, anak yatim, orang kurang upaya (OKU) serta warga emas terus menerima bantuan yang sewajarnya.
Beliau turut mengajak lebih banyak syarikat korporat untuk tampil menyokong program kebajikan melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama YKN.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa sumbangan tunai melalui YKN layak menerima resit pengecualian cukai pendapatan.
"Aidilfitri ialah bulan kemenangan, bulan kemaafan dan bulan berkongsi rezeki. Semoga program ini menjadi titik permulaan kepada lebih banyak inisiatif kebajikan yang dapat kita laksanakan bersama pada masa hadapan," ujarnya.
YKN berharap usaha murni ini dapat diteruskan bagi menjamin kesejahteraan masyarakat yang memerlukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

