PITAS cadang penubuhan IPG Tahfiz, sasar beroperasi 2027

Dr Mohammad Fahmi (duduk, tengah) bersama Mohamad Hafiz (duduk, dua dari kiri) bergambar bersama pelajar tahfiz yang cemerlang.
Dr Mohammad Fahmi (duduk, tengah) bersama Mohamad Hafiz (duduk, dua dari kiri) bergambar bersama pelajar tahfiz yang cemerlang.
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (PITAS) menggesa kerajaan menaik taraf salah satu Institut Pendidikan Guru (IPG) sedia ada kepada IPG Tahfiz bagi melahirkan tenaga pengajar tahfiz yang lebih berkelayakan.

Pengerusi PITAS, Mohamad Hafiz Haneefa berkata, keperluan penubuhan institut perguruan khas untuk guru tahfiz adalah penting memandangkan terdapat institusi tahfiz di bawah seliaan kerajaan termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Sekolah-Sekolah Berasrama Kebangsaan (SSBK).

"Ketika ini, tiada modul khas yang benar-benar memberi tumpuan kepada latihan guru tahfiz. Walaupun terdapat kursus anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Institut Aminuddin Baki, ia lebih menumpukan kepada aspek pengurusan sekolah dan bukan modul khusus untuk pendidikan tahfiz," ujarnya.

Beliau ditemui pada Majlis Penutup Ijtima’ Huffaz Selangor Kali Ke-18 dan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PITAS di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) di sini pada Ahad.

Majlis penutup program disempurnakan Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi negeri, Dr Mohammad Fahmi Ngah dan melibatkan kira-kira 2,000 peserta di seluruh negeri Selangor.

Jelas Mohamad Hafiz lagi, bagi merealisasikan usaha ini, PITAS sedang dalam proses permohonan Kebenaran Merancang untuk membangunkan IPG Tahfiz di Sungai Tua, Gombak.

"Projek ini memerlukan dana sekitar RM5 juta, dengan sasaran beroperasi pada tahun 2027.

"Walaupun penubuhan IPG baharu melibatkan kos yang besar, sekurang-kurangnya kerajaan boleh mempertimbangkan untuk menaik taraf salah satu IPG sedia ada bagi tujuan ini," tambahnya.

PITAS berharap cadangan ini mendapat sokongan pihak berkuasa bagi memastikan pendidikan tahfiz di Malaysia terus berkembang dengan tenaga pengajar yang lebih profesional dan terlatih.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!