Ekori rapat kenderaan hadapan punca utama kemalangan

Mohd Yusri (depan) memegang bendera Sang Saka Biru melakukan gimik pelancaran Program Advokasi Op Selamat 24 Sempena Hari Raya Aidilfitri 2025 di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada Ahad.
Mohd Yusri (depan) memegang bendera Sang Saka Biru melakukan gimik pelancaran Program Advokasi Op Selamat 24 Sempena Hari Raya Aidilfitri 2025 di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Cara pemanduan dengan mengikut rapat kenderaan lain di hadapan dikenal pasti punca utama kemalangan direkodkan semasa musim perayaan pada 2024.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, berdasarkan kajian daripada jumlah kemalangan yang dicatatkan dalam tempoh itu, faktor lain adalah tidak peka dan prihatin sehingga terbabas sendiri.

Beliau berkata, faktor ketiga pula adalah berpunca daripada tidak perasan ada kenderaan atau objek lain di hadapan atau di sebelah kenderaan.

"Faktor-faktor lain yang menjadi penyumbang utama kemalangan ialah sikap cuai semasa keluar atau masuk simpang, cuba memotong kenderaan atau menukar lorong.

"Selain sikap, faktor teknikal kenderaan serta bentuk muka bumi jalan raya juga menjadi sebab kepada kegagalan pemandu untuk mengawal kenderaan sehingga berlakunya kemalangan," katanya pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Advokasi Op Selamat 24 Sempena Hari Raya Aidilfitri 2025 di Jalan Tunku Abdul Rahman.

Op Selamat 24 sempena Hari Raya Aidilfitri 2025 akan bermula pada 29 Mac hingga 3 April, manakala Op Lancar yang akan bermula pada 23 Mac hingga 6 April ini.

Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, seramai 6,957 pegawai kanan polis dan pegawai rendah bertugas semasa Op Selamat kali ini.

Menurut beliau, pihaknya mengesan terdapat 25 lokasi hotspot dan 46 lokasi blackspot yang telah dikenal pasti di lebuh raya utama.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu katanya, pemantauan akan dibuat secara berterusan bagi memberi bantuan kepada pengguna jalan raya sekiranya menghadapi masalah kerosakan kenderaan atau kecemasan yang memerlukan perhatian segera oleh JSPT.

Tegasnya, tindakan penguatkuasaan juga diambil terhadap pengguna jalan raya yang ingkar melakukan kesalahan yang menjurus kepada kemalangan.

Sementara itu kata beliau, terdapat 407 lokasi hotspot dan 76 lokasi blackspot di seluruh negara dan daerah, membabitkan jalan persekutuan, jalan negeri, jalan bandaran dan lain-lain jalan.

Tambahnya, dengan usaha dan kerjasama pelbagai agensi serta jabatan di dalam PDRM, Op Selamat adalah satu langkah proaktif dalam mengurangkan kadar kemalangan serta memberi keyakinan kepada masyarakat dan pengguna jalan raya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!