X

Kindly register in order to view this article
!

Kewibawaan Agong serlah peranan Raja Berperlembagaan

A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilihat amat berhati-hati dalam mencari penyelesaian terbaik berhubung krisis politik yang sedang melanda negara ini umpama ‘menarik rambut dalam tepung.’

Seri Paduka begitu teliti dan melakukan segala usaha untuk mencari penyelesaian bagi kemelut itu berpandukan kuasa yang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa 'Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu'.

Berikut percubaan pada Ahad untuk membentuk kerajaan gabungan baharu dengan rakan kongsi berbeza, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang selepas Bersatu bertindak keluar daripada kumpulan yang turut terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah.

Tun Dr Mahathir Mohamad juga meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada Isnin. Beberapa jam selepas itu, Seri Paduka melantik beliau sebagai perdana menteri interim serta membatalkan pelantikan timbalan perdana menteri, menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik.

Meskipun parti-parti politik kedua belah pihak terlibat dalam beberapa siri rundingan untuk membentuk kerajaan campuran, Seri Paduka, dengan caranya sendiri telah menetapkan untuk menentukan siapa yang mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat sekali gus menyerlahkan peranan penting raja dalam menyelesaikan isu-isu yang mencabar.

Seri Paduka telah mengadakan temu bual empat mata dengan semua ahli Parlimen selama dua hari mulai Selasa untuk mendapatkan maklum balas mereka berkaitan calon yang dianggap terbaik untuk menggalas tanggungjawab sebagai perdana menteri berikutnya.

Kebijaksanaan Seri Paduka dalam usaha menangani krisis itu jelas memperlihatkan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen terus subur di negara ini.

Penganalisis Sosiopolitik Universiti Malaya, Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, beliau melihat Al-Sultan Abdullah sebagai seorang yang cermat dalam membuat keputusan terbaik untuk rakyat dan negara.

"Walaupun dalam kalangan rakyat melihat situasi politik negara sangat tegang dan ternanti-nanti episod seterusnya, Seri Paduka memilih untuk menangani masalah ini secara sistematik untuk memastikan keputusan diambil secara konsensus berdasarkan prinsip-prinsip tertentu.

"Cara Seri Paduka menguruskan krisis ini menambahkan lagi keyakinan rakyat bahawa apa sahaja yang berlaku, jangan risau kerana kita mempunyai Yang di-Pertuan Agong sebagai tonggak tertinggi kepimpinan negara," katanya kepada Bernama.

Awang Azman berkata, kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah dalam usaha merungkai krisis politik itu juga telah membuka mata rakyat terhadap peri pentingnya institusi diraja bagi memastikan negara kekal aman, harmoni dan selamat.

Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain pula berpendapat sikap muafakat Al-Sultan Abdullah yang mendengar pandangan semua ahli Parlimen perlu dijadikan contoh khususnya kepada ahli politik agar menyelesaikan sesuatu isu secara bersama bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

Seri Paduka juga telah memanggil mesyuarat khas Majlis Raja-Raja hari ini bagi membincangkan krisis itu yang membuktikan keyakinan baginda dalam langkah mencapai keputusan secara kolektif.

Mohd Izani tidak melihat Seri Paduka mengambil pendekatan untuk mengadakan pilihan raya sebagai langkah utama bagi menyelesaikan krisis itu kerana ia akan melibatkan banyak aspek seperti masa dan kos sambil menambah bahawa pada pilihan raya umum yang lepas pada 2018, negara telah mengeluarkan kos sekitar RM500 juta.

“Bahkan kalau diadakan pilihan raya pun tidak semestinya akan menyelesaikan krisis politik ini,” katanya.

Istana Negara dalam kenyataan hari ini memaklumkan akan berhubung dengan ketua-ketua pimpinan parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat untuk memberi peluang kepada mereka mengemukakan pencalonan nama Ahli Dewan Rakyat sebagai perdana menteri.

Ini mencerminkan kesabaran Seri Paduka ketika menangani kemelut itu bagi memastikan tiada apa yang terlepas perhatian dalam usaha mencari penyelesaian terbaik. - Bernama