FGV jual aset bukan teras, tidak catat prestasi baik

Haris Fadzilah Hassan
Haris Fadzilah Hassan
A
A
A

KUALA LUMPUR - FGV Holdings Bhd sedang mempertimbangkan untuk menjual perniagaan bukan teras dan tidak mencatatkan prestasi baik pada tahun ini dengan jumlah aset yang telah dikenal pasti bernilai RM150 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, sebahagian daripada aset yang tidak mencatatkan prestasi baik itu telah dikenal pasti sejak tahun lepas dan kumpulan berharap langkah penjualan itu dapat dimuktamadkan pada tahun ini.

"Bagi tahun ini, saya fikir kami dapat memuktamadkan (penjualan) Nilai Education Sdn Bhd dan Malaysia Cocoa Sdn Bhd pada suku pertama," katanya pada taklimat media mengenai keputusan kewangan kumpulan itu bagi tahun berakhir 31 Disember 2019 di sini hari ini.

Kumpulan juga sedang berusaha ke arah menyiapkan pensijilan Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Mampan (RSPO) pada suku kedua 2021 selepas mencapai 100 peratus pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Haris Fadzilah berkata, bagi segmen boleh baharu, FGV menyasarkan untuk mencapai perolehan tahunan kira-kira RM200-RM300 juta dalam tempoh lima tahun akan datang daripada RM109 juta dicatatkan pada tahun kewangan 2019 melalui beberapa strategi termasuk menumpukan kepada projek pelaburan sifar.

Pelan FGV untuk mempelbagaikan aliran pendapatannya berjalan dengan baik, katanya.

Pada tahun kewangan 2020, kumpulan itu menjangka perolehan tambahan sebanyak RM45 juta daripada perniagaan pertanian bersepadu, tenaga boleh baharu dan makanan haiwan.

“Selain minyak sawit akan kekal sebagai komponen utama kami. Ini merupakan kepelbagaian yang menarik yang akan memberi kami dan rakan pekebun kecil kami pendapatan tambahan dan peluang pertumbuhan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menjangka harga minyak sawit mentah (MSM) diniagakan dalam julat RM2,200-RM2,400 satu tan pada tahun kewangan 2020, manakala harga dijangka berada pada sekitar RM2,450-RM2,550 satu tan dalam jangka masa pendek.

Sementara itu Haris Fadzilah berkata, tiada gesaan untuk kumpulan mencari rakan kongsi perniagaan bagi anak syarikatnya, MSM Malaysia Holdings Bhd pada masa ini berikutan ia telah mengatasi masalah utama antara lainnya bekalan tambahan dan harga.

"Tiada pelan untuk menjual MSM sebenarnya, tetapi kami terbuka kepada sebarang cadangan (pada masa ini). Pada masa itu (tahun lepas) kami mencari rakan kongsi yang dapat membantu menyediakan ‘off-take’ (untuk kapasiti tambahan).

"Kapasiti tambahan satu juta tan (dari MSM Johor) meningkatkan jumlah kapasiti MSM kepada 2.25 juta tan manakala jumlah permintaan di Malaysia hanya kira-kira 1.6 juta tan. Oleh itu, terdapat lebihan kapasiti," katanya.

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan situasi pasaran yang terkini, industri gula semakin baik berikutan kekurangan bekalan gula mentah yang telah menaikkan harga gula kepada AS$0.14 satu paun setakat ini.

"Antara isu (lain) yang menjadi masalah kepada MSM ialah ia terikat dengan bekalan gula dan pembelian jangka panjang, tetapi ini telah berakhir pada Disember tahun lepas.

"Kini, perdagangan gula telah kembali kepada harga biasa manakala harga gula naik berikutan kekurangan bekalan. Syarikat juga telah menyusun semula komitmen kewangan semasanya," katanya. - Bernama