Pasangan OKU tak menang tangan siapkan tempahan baju raya

Mohd Razak dan Maslinda menunjukkan baju raya yang telah siap mengikut ukuran yang diinginkan pelanggan.
Mohd Razak dan Maslinda menunjukkan baju raya yang telah siap mengikut ukuran yang diinginkan pelanggan.
A
A
A

SETIU - Aidilfitri kali ini membawa rezeki melimpah buat pasangan suami isteri orang kurang upaya (OKU) fizikal di Bandar Permaisuri apabila menerima tempahan 400 pasang baju raya.

Mohd Razak Che Awang, 54, dan isterinya, Maslinda Salleh @ Muhammad, 47, berkata, mereka terpaksa menutup tempahan sebulan sebelum Ramadan bagi memastikan kualiti setiap jahitan terjaga.

"Kami hanya mengambil 400 pasang sahaja, termasuk 100 pasang baju Melayu, 100 pasang baju kurung dan 200 helai baju siap jahit untuk diubah suai.

"Kalau ikutkan permintaan masih banyak, tapi kami hadkan sebab nak pastikan kualiti terjaga, bukan sekadar 'asal siap'," katanya ketika ditemui di Bandar Permaisuri, di sini baru-baru ini.

Mohd Razak bersama Maslinda menyiapkan baju raya ditempah pelanggan.
Mohd Razak bersama Maslinda menyiapkan baju raya ditempah pelanggan.

Mohd Razak, yang lumpuh dari paras pinggang ke bawah berkata, masih ramai pelanggan memilih untuk menempah baju raya kerana ia dibuat mengikut ukuran badan mereka, sekali gus memberikan keselesaan yang lebih baik.

"Harga yang dikenakan bagi setiap tempahan ialah RM150 untuk baju Melayu, RM60 bagi baju kurung, RM70 untuk mini kurung, manakala baik pulih baju pula dikenakan caj antara RM5 hingga RM10," ujarnya.

Sementara itu, Maslinda berkata, mereka masih menerima tempahan ubah suai baju sehingga seminggu sebelum raya bagi pelanggan yang ingin mengecilkan saiz baju, memotong kaki seluar, dan sebagainya

Katanya, tahun ini sambutan terhadap perkhidmatan jahitan yang ditawarkan amat memberangsangkan.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah, rezeki raya tahun ini sangat murah. Tempahan meningkat dua kali ganda berbanding bulan biasa," katanya yang merupakan OKU fizikal pada tangan dan kaki.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!