Kutipan sampah di bazar Ramadan di Selangor turun 40 peratus - KDEBWM

SHAH ALAM - Jumlah kutipan sampah yang dikendalikan oleh KDEB Waste Management (KDEBWM) di bazar Ramadan di beberapa daerah Selangor tahun ini menunjukkan pengurangan kepada 40 tan sehari berbanding 70 tan sehari tahun lepas, iaitu penurunan kira-kira 40 peratus.
Pengarah Urusannya, Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, ia mungkin disebabkan oleh kesedaran masyarakat dan peniaga yang semakin baik dalam menguruskan perbelanjaan serta perniagaan dengan berhemah dan tidak bersikap berlebihan sepanjang bulan puasa ini.
“Tahun ini KDEBMW diarah mengendalikan pengurusan sampah bazar Ramadan di tujuh daerah pihak berkuasa tempatan (PBT) merangkumi 152 lokasi dengan hampir 9,832 tapak.
"Semakan kita setakat 20 hari ini kita nampak ada pengurangan sedikit dalam jumlah kutipan sampah di bazar Ramadan pada tahun ini yang mana saya kira sesuatu perkara bagus.
"Tahun lepas kita mencatatkan setiap hari hampir 70 tan sampah bazar Ramadan sehari. Maksudnya tidak banyak yang dibazirkan, mungkin kerana peniaga juga tidak mahu berlebihan dan akhirnya jualan lambat habis," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Santunan Ramadan di pekarangan KDEB ICI Sdn Bhd (KDEB ICI), di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Ramli berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk memastikan kutipan sampah menjelang dan semasa sambutan Aidilfitri berjalan dengan lancar.
Menurutnya, operasi kutipan sampah juga akan berjalan seperti biasa dan beliau memberi jaminan tidak berlaku longgokan sampah di sekitar Selangor ketika sambutan perayaan tersebut.
“Saya bagi jaminan kita memang diarahkan untuk beroperasi selama 365 hari, jadi KDEB di semua cawangan di 12 PBT akan lakukan kutipan seperti biasa.
“Kita juga akan rancang di kawasan tertentu untuk kita masuk lebih awal iaitu pada awal pagi dan selesaikan sebelum sembahyang sunat Hari Raya, sebab kita tidak mahu orang beraya dengan sampah penuh di rumah," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

