Anwar tinjau Bazar Ramadan Astaka Jalan Padang

KEMAMAN - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa berkunjung ke Bazar Ramadan Astaka Jalan Padang, di sini, pada Jumaat.
Beliau tiba di tapak bazar pada jam 6.32 petang diiringi Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Kehadiran Ahli Parlimen Tambun itu disambut penuh meriah oleh lebih 500 peniaga dan pengunjung di tapak bazar tersebut.
Seorang pengunjung, Fariz Abdullah, 29, sanggup menunggu sejak jam 5 petang untuk bertemu secara dekat dengan Perdana Menteri.
"Dalam keadaan ramai orang tadi, sempat saya bersalam dengan Datuk Seri. Saya sangat teruja untuk bertemu dengan beliau secara bersemuka," ujarnya.

Sementara itu, peniaga kuih, Tengku Nurlisa Tuan Mohd Shamsir, 33, berkata, dia terharu apabila Perdana Menteri singgah di gerainya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kuih tradisional yang dijual, iaitu ropa.
"Saya sangat gembira apabila Perdana Menteri sudi singgah di gerai ini. Malah, saya lebih terharu apabila beliau memberi kata-kata semangat dan mengucapkan selamat maju jaya kepada saya untuk mengembangkan lagi perniagaan kuih ropa ini," katanya.
Anwar telah meluangkan masa selama 25 minit di bazar berkenaan untuk beramah mesra bersama pengunjung dan peniaga.
Perdana Menteri turut menerima pelbagai juadah daripada beberapa peniaga di bazar berkenaan, termasuk nasi kerabu, satar dan kuih tradisional.
Beliau kemudiannya menghadiri Majlis Berbuka Puasa Madani peringkat negeri Terengganu 2025 di Masjid Sultan Ahmad, di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!