'Bukan lantikan pintu belakang'

Hasni (tengah) pada sidang media selepas dilantik sebagai Menteri Besar Johor hari ini.
Hasni (tengah) pada sidang media selepas dilantik sebagai Menteri Besar Johor hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Ir Hasni Mohammad menegaskan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Johor ke-18 hari ini bukan lantikan pintu belakang.

Hasni berkata, lantikanya terjadi selepas Pakatan Harapan (PH) yang mengambil alih tampuk pentadbiran Johor selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tumbang berikutan rakan sekutu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar PH pada 24 Februari lalu.

"Pelantikan ini hak mutlak Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Kita perlu menghormati demokrasi di negara ini.

"Krisis politik berpanjangan akan menyebabkan ekonomi merosot," katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel di Johor Bahru di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang dan Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin.

Menurutnya, Sultan menggunakan peruntukan tertakluk di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor.

"Pelantikan tidak membelakangkan peraturan dalam membuat penyelesaian kepada keputusan dibuat," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan PH Johor yang terdiri daripada Parti Amanah Negara (Amanah), DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mempunyai 28 kerusi ADUN malam tadi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Hasni berkata, Bersatu dan Pas diyakini akan memberikan kerjasama melalui gabungan baharu itu.

"Senarai barisan Exco kerajaan negeri akan diumumkan. Paling utama kena pastikan pentadbiran Johor kembali.

"Saya ada seminggu untuk siapkan senarai nama Exco dan lepas itu akan mohon menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar," katanya.

Katanya, kerusi Exco kerajaan negeri akan dibahagi dengan adil bersama dengan parti gabungan baharu.

Pelantikan Hasni yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional (BN) Johor sebagai Menteri Besar Johor yang ketiga dalam tempoh kurang tiga tahun selepas PRU14.

Datuk Dr Sahruddin yang dilantik Menteri Besar ke-17 pada 14 April 2019 memegang tampuk kepimpinan bagi menggantikan Datuk Osman Sapian yang meletak jawatan selepas 11 bulan mentadbir kerajaan negeri.