Akhbar Itali cetak edisi AI, jualan naik 60 peratus

Akhbar Il Foglio yang kini dicetak menggunakan edisi AI. Foto Agensi
Akhbar Il Foglio yang kini dicetak menggunakan edisi AI. Foto Agensi
A
A
A

ROME - Akhbar Il Foglio mencipta sejarah apabila menerbitkan edisi khas yang ditulis sepenuhnya oleh kecerdasan buatan (AI) selama sebulan, dalam usaha menghidupkan semula kewartawanan.

Eksperimen itu bermula Selasa lalu dengan menerbitkan empat halaman edisi AI setiap hari, mengandungi 22 artikel dan tiga editorial yang dihasilkan oleh ChatGPT berdasarkan arahan wartawan.

Pengarah Il Foglio, Claudio Cerasa, berkata projek ini bukan untuk menggantikan wartawan, tetapi bagi memahami keupayaan dan kelemahan AI dalam dunia kewartawanan.

“Kami mahu melihat sejauh mana AI boleh membantu, apa batasannya dan bagaimana ia boleh digunakan untuk meningkatkan kreativiti wartawan,” katanya.

Menurutnya, setiap artikel AI ditulis mengikut gaya akhbar tersebut, sama ada bernada serius, sinis atau provokatif. Jika terlalu banyak kesilapan, artikel ditulis semula, tetapi jika kecil, ia dibiarkan bagi menilai had AI.

Eksperimen itu mendapat sambutan luar biasa apabila jualan Il Foglio melonjak 60 peratus pada hari pertama penerbitan edisi AI.

Wartawan akhbar tersebut juga teruja dengan projek itu dan menganggap ia peluang untuk memahami bagaimana teknologi boleh membantu kerja-kerja penyuntingan.

Cerasa mengakui AI mampu menulis artikel berkualiti, tetapi percaya wartawan tetap diperlukan kerana kreativiti manusia tidak dapat ditiru oleh mesin.

“Kandungan AI mungkin berkembang, tetapi ini sepatutnya mendorong wartawan menjadi lebih kreatif dan menghasilkan sesuatu yang unik,” katanya.

Menurutnya, 90 peratus pembaca terhibur dengan eksperimen itu, manakala selebihnya berharap Il Foglio kekal dengan gaya penulisan manusia. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!