Orang tengah direman disyaki tipu jualan padi lebih RM120,000

Suspek (dua dari kanan) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Besut bagi proses tahanan reman.
Suspek (dua dari kanan) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Besut bagi proses tahanan reman.
A
A
A

BESUT – Seorang lelaki ditahan reman selama empat hari selepas disyaki menipu petani dalam urusan jual beli padi, menyebabkan kerugian lebih RM120,000.

Perintah reman terhadap suspek berusia 38 tahun itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Besut, Ahmad Fadhli Mahmud, bermula Jumaat hingga Isnin depan bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, pihaknya menerima 11 laporan daripada petani yang mendakwa menjadi mangsa suspek pada 19 Mac lalu.

Menurutnya, suspek bertindak sebagai orang tengah dalam urusan penjualan padi secara bersemuka dan menjanjikan bayaran selepas seminggu penjualan dibuat kepada kilang sekitar Besut.

"Mangsa mendakwa tidak menerima sebarang bayaran selepas tempoh itu dan suspek memberi pelbagai alasan untuk mengelak daripada membayar wang kepada mereka.

"Suspek ditahan polis pada pagi Khamis selepas beberapa petani tampil membuat laporan mengenai kegiatannya,"** katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!