Warga emas rugi RM1.9 juta ditipu skim kripto palsu

JOHOR BAHRU – Hasrat seorang lelaki warga emas untuk meraih keuntungan berganda tidak kesampaian apabila dia mengalami kerugian RM1.9 juta selepas terpedaya dengan skim pelaburan mata wang kripto yang tidak wujud.
Ketua Polis Johor, Komisioner Datuk M Kumar berkata, mangsa berusia 69 tahun yang bekerja sebagai pengurus ladang kelapa sawit ditipu oleh individu tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp.
Menurutnya, mangsa diarahkan memuat turun satu aplikasi pelaburan sebelum memulakan perdagangan mata wang kripto.
“Tertarik dengan janji pulangan antara 20 hingga 40 peratus, mangsa menurut arahan suspek dan dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp bagi mendapatkan arahan lanjut.
“Antara Disember 2024 hingga Februari 2025, mangsa telah membuat pembayaran berjumlah RM1.9 juta ke beberapa akaun bank seperti yang diarahkan oleh suspek,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurutnya lagi, selepas bayaran dibuat, mangsa melihat status pelaburannya dalam aplikasi tersebut dan mendapati keuntungannya mencecah USD22.2 juta.
Bagaimanapun, ketika cuba mengeluarkan wang, mangsa masih diminta membuat bayaran tambahan sebelum menyedari dirinya telah ditipu lalu membuat laporan polis.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun serta sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat.
Sebarang semakan akaun bank dan nombor telefon yang mencurigakan boleh dilakukan menerusi aplikasi Semak Mule, manakala mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 bagi menyekat aliran wang ke akaun suspek.
Maklumat lanjut mengenai modus operandi jenayah komersial boleh diperoleh menerusi laman rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di Facebook, Instagram dan TikTok.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!