Hojlund tumbangkan Portugal di Denmark

Hojlund meraikan jaringan ketika berdepan Portugal di Parken. Foto Agensi
Hojlund meraikan jaringan ketika berdepan Portugal di Parken. Foto Agensi
A
A
A

PEMAIN gantian, Rasmus Højlund, muncul wira Denmark apabila menjaringkan gol kemenangan 1-0 ke atas Portugal dalam aksi suku akhir pertama Liga Negara-Negara Eropah di Stadium Parken, Jumaat.

Højlund, yang bergelut untuk menjaringkan gol bersama Manchester United musim ini, meledak jaringan pada minit ke-78, sekali gus menebus kegagalan Christian Eriksen menyempurnakan sepakan penalti pada separuh masa pertama.

Penyerang Denmark, Mika Biereth, hampir memulakan karier antarabangsanya dengan sempurna pada minit ketiga, namun percubaannya dinafikan kecemerlangan penjaga gol Portugal, Diogo Costa.

Portugal turut hampir merobek gawang pasukan tuan rumah pada minit kelapan, tetapi percubaan Pedro Neto berjaya diselamatkan penjaga gol Denmark, Kasper Schmeichel.

Kedua-dua pasukan beraksi dengan corak permainan menyerang, menyaksikan Eriksen dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-23 selepas rembatan kaki kirinya terkena tangan Renato Veiga.

Bagaimanapun, sepakan Eriksen berjaya diselamatkan Costa, yang turut menggagalkan percubaan Biereth untuk menjaringkan gol sulung pada minit ke-36.

Ketangkasan Costa akhirnya bolos apabila sentuhan Andreas Skov Olsen disudahkan dengan baik oleh Højlund untuk menjaringkan gol tunggal perlawanan timbal balik pertama itu.

Lebih menarik, penyerang berusia 22 tahun itu meraikan jaringannya dengan gaya ‘siu’ yang sinonim dengan Cristiano Ronaldo.

"Ia sangat hebat, hari yang luar biasa dalam pelbagai cara. Saya bermain menentang idola saya (Ronaldo), menjaringkan gol serta menjadi penentu kemenangan," kata Højlund.

Denmark yang kemudian bermain secara bertahan selepas gol tersebut membenarkan Portugal melancarkan serangan, namun pasukan tuan rumah berjaya mengekalkan kedudukan dan membawa kelebihan ke perlawanan timbal balik di Lisbon pada Isnin.

Sementara itu, tonggak Portugal, Bruno Fernandes, mengakui tidak terkejut dengan corak permainan agresif Denmark yang menerapkan tekanan tinggi.

"Kami sebaliknya kurang agresif dan perlu lebih kuat dalam perebutan bola serta lebih bijak memanfaatkan ruang.

"Kami mempunyai perlawanan sukar di hadapan, tetapi kami sangat mahu menang. Dengan sokongan peminat di laman sendiri, kami yakin dapat betulkan keadaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!