Henti bahas isu KB Sentral - Mohamed Fadzli

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Semua pihak diminta menghentikan perbahasan berhubung pembinaan Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) selepas Kerajaan Kelantan membuat keputusan untuk menyiapkan projek tersebut.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, projek itu menjadi keutamaan kerajaan negeri dan pihaknya mahu ia disiapkan sebagaimana yang dijanjikan.
"KB Sentral adalah perkara yang kerajaan negeri mahu pastikan dapat dilaksanakan demi kepentingan negeri dan bagi menjaga kepentingan rakyat," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.
Sebelum itu beliau hadir pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kuih Raya Aidilfitri kepada Pasukan Keselamatan Negeri Kelantan yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud di Kompleks Kota Darulnaim di sini.
Menurut beliau, kerajaan negeri tidak boleh bertolak ansur dalam apa-apa sahaja yang termaktub dalam perjanjian berkaitan pembinaan KB Sentral melibatkan kepentingan negeri dan rakyat.
Ujarnya, kerajaan negeri memberi keutamaan kepada perkara tersebut.
"Itu (KB Sentral) kita telah buat keputusan dan saya rasa usahlah dibesar-besarkan lagi.
"Tunggu dan tengok sahaja sebab kita sudah putuskan. Saya juga tidak mahu cakap lebih lagi daripada itu dan kita tunggu sehingga ia (KB Sentral) disiapkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

