Transformasi lokap ke Pusat Penilaian Dadah tangani ketagihan
Setakat ini dilaksanakan di tiga lokasi termasuk terbaharu di Pasir Mas

RANTAU PANJANG – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melaksanakan transformasi besar dengan menaik taraf fungsi lokap serta pusat tahanan reman kepada Pusat Saringan dan Penilaian Dadah (DAC), bertujuan menilai tahap ketagihan penagih secara menyeluruh.
Langkah ini, sekali gus membolehkan intervensi awal dilakukan bagi menentukan rawatan yang paling sesuai.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, DAC bukan sekadar tempat tahanan sementara tetapi berfungsi sebagai pusat saringan awal yang membolehkan pegawai AADK mengenal pasti jenis dadah yang digunakan, tempoh penagihan serta kesannya terhadap individu terbabit.
Menurut beliau, projek perintis DAC bermula tahun ini dijalankan di Kuala Muda, Kedah; Tampin, Melaka dan Sungai Merab, Putrajaya serta terbaharu iaitu keempat di Pasir Mas yang akan beroperasi April ini.

“Kelantan mencatat kadar penyalahgunaan dadah tertinggi di Malaysia dengan 1,130 kes bagi setiap 100,000 penduduk, kedua Terengganu dengan 974 dan Perlis 965.
“Dengan adanya DAC, kita dapat mengesan lebih awal tahap ketagihan seseorang penagih dan menentukan rawatan yang sesuai sebelum mereka dihantar ke pusat pemulihan atau dibawa ke mahkamah,” katanya pada sidang akhbar sempena lawatan kerja ke DAC Pasir Mas di Lubok Jong, di sini, pada Rabu.
Beliau berkata, pusat ini juga dilengkapi dengan pasukan perubatan termasuk doktor locum yang bertanggungjawab menjalankan pemeriksaan kesihatan awal terhadap penagih bagi mengesan kesan dadah terhadap tubuh mereka.
Menurutnya, trend penyalahgunaan dadah sintetik seperti pil kuda semakin meningkat di Kelantan, berbanding heroin dan syabu di negeri lain.
Situasi ini membimbangkan kerana dadah sintetik memberi kesan lebih cepat dan merosakkan saraf serta organ dalaman dalam tempoh singkat.
“Dengan adanya DAC, kita bukan sahaja dapat menilai tahap ketagihan tetapi juga mengenal pasti sama ada seseorang itu menggunakan lebih daripada satu jenis dadah.
“Ini penting kerana rawatan bagi penagih yang mengambil pelbagai jenis dadah adalah lebih kompleks dan memerlukan pendekatan berbeza,” katanya.
Beliau berkata, mengikut daerah kes bagi setiap 100,000 penduduk, Pendang, Kedah paling tinggi penagih seramai 1,798 namun empat daerah seterusnya melibatkan Kelantan dengan kadar penagihan di Kuala Krai (1,442), Bachok (1,315), Tanah Merah (1,275) dan Pasir Puteh (1,262).
Katanya, di Pasir Mas sahaja, hampir 1,000 individu berada di bawah program pemulihan dan pengawasan AADK, yang merangkumi latihan vokasional serta ujian air kencing secara berkala bagi memastikan mereka bebas daripada ketagihan.
“Transformasi lokap ke DAC adalah sebahagian daripada strategi besar AADK dalam memastikan penyalahgunaan dadah dapat ditangani secara lebih sistematik.
“Objektif kami bukan sekadar menghukum tetapi merawat dan memulihkan penagih agar mereka dapat kembali kepada masyarakat sebagai individu yang produktif,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!