Penjawat awam Selangor terima BKK tambahan setengah bulan gaji sempena Aidilfitri

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Kerajaan Selangor mengumumkan pemberian Insentif Khas Aidilfitri dan Insentif Rekod Hasil Negeri kepada penjawat awam serta petugas berkaitan di negeri berkenaan yang akan disalurkan Mac dan April ini.
Pemberian insentif ini juga sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka dalam memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar dan mencapai kejayaan kewangan yang memberangsangkan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, semua anggota pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor berkelayakan akan menerima Insentif Khas Aidilfitri berjumlah satu bulan gaji atau minimum RM1,000, yang akan disalurkan pada 25 Mac ini.
“Sebagaimana yang diumumkan dalam Belanjawan Selangor 2025, insentif ini diberikan sebagai tanda penghargaan kepada penjawat awam yang telah berkhidmat dengan dedikasi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Mahabbah Ramadan Madani Menteri Besar Selangor bersama Penjawat Awam Negeri Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini pada Rabu.
Selain itu, beliau turut mengumumkan Insentif Rekod Hasil Negeri sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000, susulan kejayaan kerajaan negeri mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM2.867 bilion pada tahun 2024.
Jelas beliau, Insentif ini akan mula disalurkan pada 15 April bergantung kepada proses penyelarasan oleh jabatan berkaitan.
"Bukan sahaja penjawat awam negeri yang menerima insentif ini, malah pemimpin masyarakat seperti pegawai perhubungan kampung, ketua komuniti India, Penyelia Wanita Berdaya, dan Penggerak Belia Selangor akan menerima setengah bulan elaun atau minimum RM500," ujarnya.
Dalam pada itu, petugas masjid turut tidak dilupakan dengan pemberian sebanyak RM500 menerusi Menteri Besar (Pemerbadanan) MBI, manakala penjawat awam Persekutuan berkhidmat di Selangor seperti anggota polis, tentera, guru, dan jururawat yang mempunyai gaji pokok RM3,000 ke bawah akan menerima bantuan khas RM250.
Secara keseluruhan, insentif ini melibatkan peruntukan sebanyak RM38.75 juta, yang menurut Amirudin, merupakan satu bentuk penghargaan terhadap komitmen penjawat awam dalam menjayakan agenda pembangunan negeri.
“Kami yakin dengan usaha yang lebih utuh, Selangor mampu mencapai rekod kutipan hasil lebih tinggi pada tahun ini, sekali gus memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” tambahnya.
Beliau turut menyeru semua pihak agar terus mengamalkan prinsip ihsan dalam kerja dan kehidupan seharian, selaras dengan semangat Selangor Darul Ehsan yang menitikberatkan kesejahteraan rakyat.
Pengumuman ini pastinya menjadi khabar gembira bagi lebih 50,000 penjawat awam di Selangor menjelang sambutan Aidilfitri pada tahun ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!