'Insya-ALLAH, kebenaran akan tertegak juga' - Syed Saddiq

Syed Saddiq memohon doa orang ramai agar kebenaran dan keadilan berpihak kepadanya.
Syed Saddiq memohon doa orang ramai agar kebenaran dan keadilan berpihak kepadanya.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyerahkan segala keputusan melibatkan kesalahan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) kepada ALLAH SWT.

Malah beliau sekali lagi menegaskan, tidak pernah meminta kesnya digugurkan atau cuba melengahkan proses mahkamah.

"Esok (Rabu) adalah hari penentuan. Saya tidak pernah menerima sogokan, tidak melompat parti. Saya mahu membersihkan nama di mahkamah walau apa pun risikonya.

"Selepas bertahun-tahun berdepan dengan pelbagai tekanan dan ujian, esok mahkamah rayuan akan menentukan nasib saya.

"Sejak tahun 2020, saya dah keluarga telah disiasat, bermula dengan cubaan sogokan, berakhir dengan ugutan. Semuanya kerana saya enggan menggadaikan prinsip dan menjual maruah diri," katanya menerusi hantaran di Instagram pada Selasa.

Nasib bekas Menteri Belia dan Sukan itu sama ada dibebaskan daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta atau kekal bersalah atas empat kesalahan berkaitan dana Armada akan diputuskan selepas hujahan di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Sebelum ini mahkamah menetapkan hujahan bagi kedua-dua pihak, dijalankan selama dua hari iaitu 19 dan 20 Mac.

Dalam pada itu Syed Saddiq turut memohon doa orang ramai agar kebenaran dan keadilan berpihak kepadanya.

Artikel Berkaitan:

"Tiada senjata lebih kuat dari doa kepada ALLAH SWT khususnya pada hari yang istimewa ini.

"Insya-ALLAH, kebenaran akan tertegak juga. Kalau ingin tunjukkan sokongan, tidak perlu protes, tidak perlu menyerang hakim, tidak perlu merendahkan martabat sesiapa pun," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!