UiTM lantik Azam Baki sebagai Profesor Adjung

Dr Shahrin (dua dari kiri) turut menyampaikan cenderahati kepada Azam Baki (dua dari kanan) pada majlis penyerahan watikah pelantikan di UiTM pada Isnin.
Dr Shahrin (dua dari kiri) turut menyampaikan cenderahati kepada Azam Baki (dua dari kanan) pada majlis penyerahan watikah pelantikan di UiTM pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM – Universiti Teknologi MARA (UiTM) melantik Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sebagai Profesor Adjung di Accounting Research Institute (ARI) bagi memperkukuh penyelidikan jenayah kewangan dan tadbir urus integriti.

Watikah pelantikan disampaikan oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts Dr Shahrin Sahib dalam Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Profesor Adjung di Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam, pada Isnin.

Menurut Dr Shahrin, pelantikan itu merupakan langkah strategik bagi UiTM untuk terus menjadi peneraju dalam kajian pencegahan rasuah serta pemantauan jenayah kewangan.

"Dengan pengalaman lebih 36 tahun dalam penguatkuasaan undang-undang, Tan Sri Azam dijangka membawa perspektif industri yang mendalam, membantu UiTM dalam memperkasa modul akademik serta dasar berkaitan integriti dan ketelusan kewangan.

"Selain itu, kepakaran beliau bakal memberi manfaat kepada pelajar, penyelidik serta pembuat dasar dalam menangani cabaran kewangan global yang semakin kompleks," katanya pada majlis berkenaan.

Dr Shahrin turut menzahirkan keyakinannya bahawa pelantikan ini akan menjadi pemangkin kepada usaha universiti dalam melahirkan pakar dalam bidang tadbir urus dan jenayah kewangan, sekali gus mengukuhkan kedudukan UiTM di peringkat nasional dan antarabangsa.

UiTM turut merakamkan penghargaan kepada Azam Baki dan berharap kerjasama ini dapat memperkasa usaha membangunkan ekosistem kewangan yang lebih telus, berintegriti dan berdaya tahan di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!