Kerajaan di Kedah tidak mampu bertahan lama

Laporan Sinar Harian semalam.
Laporan Sinar Harian semalam.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang memberi sokongan kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir kekal sebagai Menteri Besar Kedah diyakini tidak mampu bertahan lama.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yakin akan berlaku perubahan selepas sidang khas Dewan Rakyat pada 2 Mac ini.

Menurut Muhammad Sanusi, Pas akur keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH dan Bersatu untuk mengekalkan Datuk Seri Muhkriz Mahathir sebagai Menteri Besar dan barisan Exco sedia ada.

"Kami turut mendapati kerajaan minoriti berjalan dengan seorang menteri besar dan minimum empat Exco walaupun Bersatu mengumumkan keluar dari PH dan tidak bergabung dengan mana-mana pihak selepas membuat rujukan dengan pakar undang-undang," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kedah berkata demikian pada sidang media selepas ceramah umum sempena Karnival Muafakat Nasional di Kompleks Pas Kedah Batu 9 Kota Sarang Semut di sini malam tadi.

Katanya, ada dua cara yang membolehkan menteri besar hilang jawatan iaitu sama ada meletak jawatan atau berlaku undi tidak percaya Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Bagaimanapun, kedua-dua cara berkenaan tidak berlaku, jadi beliau masih menjadi menteri besar dan kami akur dengan kehendak undang-undang mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menolak khabar angin bahawa ada pimpinan PKR bertemu dengan Pas di Kedah, malah tidak menerima sebarang arahan ataupun permintaan untuk melakukan apa-apa pergerakan.

Artikel Berkaitan:

Semalam Sinar Harian melaporkan Mukhriz kekal sebagai Menteri Besar Kedah apabila menerima sokongan ADUN PH dan Bersatu demi memastikan urusan pentadbiran lancar.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan Kedah kekal ditadbir Mukhriz