Lelaki 'naik hantu', ugut bunuh ibu kandung dengan parang

Gambar hiasan. Gambar kecil: Hanyan
Gambar hiasan. Gambar kecil: Hanyan
A
A
A

KEMAMAN - Seorang lelaki mengamuk sehingga sanggup bertindak menumbuk ibu kandungnya dalam kejadian di Kampung Olong Binjai, di sini Selasa lalu.

Lebih melampau, tanpa diketahui puncanya suspek berusia 24 tahun turut mengugut mahu membunuh ibunya yang berusia 50-an dengan mengacukan sebilah parang selain cuba mencederakan wanita itu dengan bertindak membaling senjata tersebut.

Menurut sumber, kejadian itu hanya diketahui oleh abang suspek kira-kira jam 5.40 petang selepas dihubungi oleh salah seorang ahli keluarganya.

"Semasa berada di rumahnya di Taman Semarak Binjai, di sini, lelaki berusia 34 tahun itu menerima panggilan daripada adik perempuannya yang tinggal bersama ibu mereka.

"Sebelum itu, adiknya memaklumkan suspek membaling sebilah parang ke arah ibu mereka tetapi sempat dielak dan disebabkan itulah, suspek 'naik hantu' lalu mengugut mahu membunuhnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sumber berkata, sejurus menerima makluman berkenaan, abang suspek bergegas ke rumah ibu mereka yang tidak jauh dari rumahnya kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku memandangkan suspek seorang penagih dadah.

"Bagaimanapun, setibanya di rumah, dia mendapati adik lelakinya itu sudah melarikan diri dan ketika itu kelihatan ibunya sedang menangis ketakutan sambil menahan sakit akibat ditumbuk suspek.

"Tidak berpuas hati dengan tindakan suspek selain bimbang keselamatan mangsa dan ahli keluarganya pada masa akan datang, lelaki itu mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Jelasnya, suspek berjaya ditahan semalam dan kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.