Lelaki mabuk pukul kepala penunggang motosikal di lampu isyarat

MELAKA - Seorang lelaki dipercayai mabuk secara tiba-tiba turun dari kenderaan dinaiki lalu memukul topi seorang penunggang motosikal ketika lampu isyarat merah di persimpangan Kota Syah Bandar di sini pada awal pagi Sabtu.
Insiden yang berlaku kira-kira jam 2 pagi itu tular di media sosial yang mana ia memaparkan seorang penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire, keluar dari kenderaan lalu memukul belakang mangsa berusia 24 tahun itu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, keadaan itu menyebabkan penunggang terbabit bertindak turun dari motosikalnya dan menolak lelaki tersebut sebelum berlaku kekecohan.
"Beberapa pengguna jalan raya berhampiran datang membantu lelaki berusia 24 tahun ini dan berlaku insiden tolak-menolak di antara mereka.
"Namun suspek berusia 25 tahun menaiki semula kenderaannya sebelum berlalu pergi," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Menurutnya, suspek berjaya ditahan pada jam 3 petang pada Ahad di Kota Shahbandar dan telah dibebaskan dengan jaminan polis atas faktor kesihatan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!