Dasar ekonomi AS, impak kepada ekonomi global

Sekiranya kelembapan ekonomi AS benar-benar berlaku, kesannya akan dirasai di serata dunia disebabkan ekonomi global saling berhubung antara satu sama lain.
Sekiranya kelembapan ekonomi AS benar-benar berlaku, kesannya akan dirasai di serata dunia disebabkan ekonomi global saling berhubung antara satu sama lain.
A
A
A

PASARAN saham global dilihat begitu meruap mutakhir ini. Indeks-indeks utama seperti Dow Jones, S&P 500, NASDAQ, masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 2.5 peratus, 4.1peratus dan 8.1 peratus dari awal tahun sehingga Jumaat.

Pasaran saham di rantau Asia tidak terkecuali seperti di Indonesia, Thailand dan Filipina yang juga merosot dalam tempoh sama iaitu 8.0 peratus, 16.2 peratus serta 0.7 peratus.

Indeks FBMKLCI turut terkesan dengan kejatuhan sebanyak 7.9 peratus kepada 1,515.15 mata. Petunjuk indeks-indeks harga saham ini penting kerana ia melambangkan jangkaan pedagang dan pelabur saham terhadap prestasi ke-wangan syarikat-syarikat tersenarai.

Ini kerana prospek keuntungan syarikat amat bergantung kepada prestasi ekonomi global mahupun domestik. Keuntungan pula akan mempengaruhi penilaian saham seperti nisbah harga kepada keuntungan atau price-to-earnings ratio (PER).

Semakin tinggi keuntungan syarikat, maka PER akan menjadi lebih rendah, lalu menandakan penilaian saham yang terkurang nilai.

Perkara itu akan menarik perhatian pelabur untuk membeli saham-saham tersebut disebabkan prospek keuntungan yang baik. Begitulah sebaliknya jika prospek keuntungan merosot.

Buat masa ini, isu yang menjadi persoalan utama ialah dasar ekonomi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang kerap menggunakan instrumen dasar seperti tarif import.

Ia bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan sumber import dan pada masa sama mahu menggalakkan permintaan terhadap produk barangan dihasilkan di negara AS.

Sekiranya apa yang diharapkan itu berlaku, maka akan lebih banyak lagi peluang perniagaan dan peluang pekerjaan kepada rakyat AS. Perkara itu sekali gus akan merancakkan ekonomi AS dengan lebih mampan pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

Ia adalah pemikiran Trump — pemain saham seperti pedagang dan pelabur dilihat kurang yakin keberkesanan dasar sedemikian rupa. Ini kerana tarif ialah suatu bentuk cukai dibayar kepada AS oleh peniaga di AS yang mengimport barangan dari luar negara mereka.

Peniaga pula mungkin akan cenderung menaikkan harga barangan mereka kerana kos perniagaan telah meningkat, disebabkan tarif dikenakan. Perkara itu dilihat akan menaikkan kadar inflasi di AS dan berkemungkinan boleh menyebabkan pertumbuhan ekonomi AS memperlahan.

Buat masa ini sentimen rakyat AS telah pun merosot dengan agak drastik. Sebagai contoh, indeks keyakinan pengguna dikeluarkan oleh Conference Board telah menurun ke paras 98.3 mata pada Februari lalu, berbanding 105.3 mata pada bulan sebelumnya.

Selain itu, indeks jangkaan pengguna terhadap situasi ekonomi pada masa akan datang juga menunjukkan penurunan kepada 72.9 mata pada Februari berbanding 82.2 mata pada tempoh sebelumnya.

Signifikan bacaan indeks jangkaan pengguna ini adalah sekiranya indeks tersebut berada di bawah 80 mata, ia adalah petanda kepada kemelesetan ekonomi AS mungkin berlaku.

Justeru, kebimbangan terhadap dasar Trump kepada peningkatan risiko kemelesetan ekonomi AS merupakan faktor utama kepada kemeruapan pasaran saham global.

Sekiranya kelembapan ekonomi AS benar-benar berlaku, kesannya akan dirasai di serata dunia disebabkan ekonomi global saling berhubung antara satu sama lain. Sehubungan itu, prospek ekonomi global dilihat agak kabur disebabkan dasar ekonomi AS.

Oleh itu, rakyat Malaysia disaran sentiasa cakna perkembangan ekonomi global semasa agar dapat bersiap siaga segala sudut terutama dari segi kewangan.

* Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid ialah Ketua Penganalisis Ekonomi, Bank Muamalat Malaysia Berhad

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!