Pendapatan pesawah Kedah RM500 sebulan - Exco

ALOR SETAR - Rata-rata pesawah di negeri ini didakwa hanya memperoleh pendapatan purata sekitar RM500 sebulan sahaja.
Exco Pertanian dan Perladangan negeri, Dzowahir Ab Ghani berkata, keadaan ini membimbangkan kerana pesawah adalah tulang belakang industri beras negara, tetapi mereka sendiri berdepan kesukaran untuk meneruskan kehidupan.
Menurutnya, antara faktor yang menyebabkan pesawah mendapat pendapatan rendah adalah disebabkan oleh masalah benih padi yang tidak berkualiti.
"Purata pendapatan pesawah kita tidak sampai RM500 sebulan. Ini bukan sekadar miskin biasa, tetapi miskin tegar.
"Mereka bekerja di bawah panas terik setiap hari untuk memastikan kita semua mendapat bekalan beras yang mencukupi, tetapi akhirnya pendapatan mereka tidak sepadan dengan usaha yang dicurahkan," katanya pada petang Sabtu.

Beliau berkata demikian pada program berbuka puasa bersama Persatuan Pengusaha Burung Walit Kedah di Bukit Pinang di sini.
Menurutnya, pesawah sanggup membayar harga tinggi untuk benih berkualiti, tetapi malangnya mereka mendapat benih yang tidak menepati piawaian.
"Banyak aduan daripada pesawah yang mengeluh mengenai isu ini. Malah, ada yang terpaksa membayar lebih mahal daripada harga kawalan kerajaan untuk mendapatkan benih berkualiti, tetapi akhirnya masih kecewa dengan hasilnya.
"Ini bukan isu baharu. Malah, ada pemimpin sebelum ini yang sudah membangkitkan perkara ini, tetapi mungkin tidak diberi perhatian sewajarnya," katanya.
Bagi menangani isu ini, kerajaan negeri akan memperkenalkan satu inisiatif baharu dengan menyediakan tanah seluas 20.2 hektar sebagai kawasan ujian bagi menghasilkan varieti padi terbaik untuk Kedah.
Dzowahir berkata, projek ini akan melibatkan kerjasama antara kerajaan negeri, institusi penyelidikan seperti Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), serta agensi nuklear bagi memastikan varieti padi yang dihasilkan benar-benar sesuai dengan keadaan tanah di Kedah.
"Keadaan tanah di Kedah berbeza dengan negeri lain seperti Selangor. Oleh itu, kita perlu mencari varieti yang paling sesuai untuk memastikan hasil yang lebih baik bagi pesawah," katanya.
Mengulas lanjut, Dzowahir menegaskan bahawa kerajaan negeri serius dalam menangani masalah yang dihadapi pesawah kerana sektor pertanian merupakan nadi utama ekonomi Kedah.
Dalam masa yang sama, beliau menyeru agar pesawah terus bersatu dan menyuarakan pandangan mereka kepada kerajaan negeri bagi memastikan setiap usaha yang dilakukan benar-benar memberi manfaat kepada mereka.
Sementara itu, Dzowahir juga berkata, industri burung walit di Kedah menunjukkan potensi besar namun masih banyak ruang yang boleh diterokai oleh pengusaha tempatan bagi meningkatkan daya saing di peringkat global.
Menurutnya, China, Taiwan, dan Singapura merupakan antara negara pengimport utama produk burung walit dari Malaysia.
"Ini menunjukkan komitmen tinggi dalam kalangan pengusaha untuk memajukan industri ini.
"Namun, cabaran utama kini adalah bagaimana kita dapat membantu mereka meningkatkan pasaran dan daya saing produk burung walit ke peringkat lebih tinggi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

