Anak yatim teruja naik kereta mewah, inspirasi kejayaan masa depan

MELAKA – Penghuni Rumah Kasih Tun Abdul Aziz, Durian Daun, di sini teruja apabila diberi peluang menaiki kenderaan mewah seperti BMW dan Mini Cooper sebagai salah satu usaha untuk menggalakkan mereka belajar bersungguh-sungguh.
Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) oleh syarikat Seong Hoe Premium Motors bukan sekadar meraikan golongan kurang bernasib baik dengan majlis berbuka puasa, malah memberi peluang kepada mereka mencipta pengalaman menaiki beberapa jenis kereta mewah.
Pengurus besarnya, SC Loy berkata, program ini merupakan kelainan yang diperkenalkan untuk memberi semangat kepada golongan tersebut, yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah, bahawa mereka mampu memiliki kenderaan mewah sekiranya berjaya dalam pelajaran.

Menurutnya, hanya dengan pendidikan tinggi, nasib mereka dapat diubah memandangkan sebahagian daripada mereka berasal daripada keluarga miskin dan merupakan anak yatim.
"Secara tidak langsung, ini dapat memberi mereka pengetahuan mengenai keistimewaan dan kelebihan kenderaan mewah berkenaan agar mereka mempunyai keazaman untuk memilikinya suatu hari nanti.
"Aktiviti mendekati mereka dengan kenderaan mewah ini diadakan buat pertama kali, di mana sebelum ini kami hanya sekadar berbuka puasa bersama-sama di hotel.
"Jadi, dengan pengisian sebegini, kita sebagai masyarakat dapat memainkan peranan dalam memberi galakan kepada mereka untuk mengejar kejayaan dan menunjukkan betapa pentingnya ilmu untuk berjaya," katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa di Bukit Katil di sini, pada Sabtu.
Sementara itu, seorang anak yatim yang dikenali sebagai Nani berkata, dia tidak melepaskan peluang menaiki kenderaan mewah itu kerana sepanjang hidupnya selama 15 tahun, dia tidak pernah merasainya.
"Bila melihat kenderaan mewah, secara tidak langsung saya berazam untuk memilikinya suatu hari nanti.
"Saya rasa lebih bersemangat untuk mengejar cita-cita, walaupun dibesarkan di rumah kebajikan. Ia bukan sesuatu yang mustahil jika kita berusaha," katanya.
Pada majlis itu, lebih 20 anak yatim dari rumah kebajikan tersebut diraikan dan diberikan duit raya. Selain itu, pihak syarikat turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM1,500 kepada wakil mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

