Peniaga mengeluh jualan merudum

GEORGE TOWN - Rata-rata penjual di kedai fizikal mengakui trend beli-belah dalam talian sedikit sebanyak menjejaskan perniagaan mereka.
Tinjauan di beberapa kawasan tumpuan beli-belah di sini mendapati, ramai peniaga merungut jualan mereka jatuh sehingga 50 peratus sejak beberapa bulan lalu.
Pekerja kedai tudung dan baju kurung, Erina Balqis Ahmad Safian, 20, berkata, jualan secara terus di kedai semakin berkurangan kerana pelanggan lebih gemar membeli dalam talian.

“Dulu, waktu menjelang Ramadan seperti sekarang, kedai atau gerai di pasar raya penuh dengan pelanggan.
“Tetapi sejak ada platform dalam talian, ramai lebih suka beli dari rumah kerana ada banyak pilihan dan harga lebih murah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurutnya, ramai pembeli hanya datang untuk melihat dan mencuba sebelum membuat pesanan melalui aplikasi dalam talian seperti Shopee dan TikTok.
“Majikan saya pun ada buat jualan dalam talian, jadi memang ketara antara penjualan di kedai atau gerai dengan dalam talian.
“Majikan beli stok dari pembekal tempatan dan perlu bayar sewa kedai serta gaji pekerja. Peniaga dalam talian pula boleh jual murah sebab mereka ambil terus dari kilang dan tidak perlu tanggung kos kedai,” katanya.

Sementara itu di SEREMBAN, peniaga Bazar Aidilfitri Dataran Senawang, Mazlan Subari, 33, mengakui trend masyarakat yang cenderung membeli barangan dalam talian menjejaskan sedikit perniagaan di premis fizikal.
Bagaimanapun katanya, ia tidaklah sehingga peniaga tidak boleh cari makan langsung kerana masih ramai yang memilih untuk datang membeli di kedai.
“Saya dah 10 tahun berniaga di bazar Aidilfitri. Jika tahun lepas hasil jualan saya teruk, tapi kali ini pada minggu pertama Ramadan kami dah boleh bernafas.
“Memang saya tak nafikan perniagaan dalam talian ini sedikit sebanyak menjejaskan peniaga fizikal, tapi ia tidaklah sehingga kami rugi, malah kedai pakaian emak saya pun masih boleh beroperasi hingga kini.
“Bagi sesetengah orang, mereka lebih suka membeli secara fizikal kerana lebih banyak pilihan dan dapat lihat sendiri kualiti baju yang mahu dibeli,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!