'Tergamam lihat tangan reput' – Pengunjung temui mayat di parkir pusat beli-belah

SHAH ALAM - Seorang pengguna media sosial berkongsi pengalaman mengejutkan apabila menemui mayat yang sudah mereput di dalam sebuah kereta yang diparkir di sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu negara.
Berkongsi detik cemas, pengguna TikTok bernama Rizwan Kamarulzaman berkata, pada awalnya dia tidak menyedari kewujudan mayat berkenaan, namun bau busuk yang semakin menyengat serta titisan air yang menitik daripada kenderaan terbabit menimbulkan rasa curiga.
“Saya terhidu bau yang amat pelik dan melihat titisan air menitik daripada kereta itu dari dalam. Saya tergamam melihat tangan mayat yang sudah reput,” katanya menerusi satu hantaran video pada Jumaat.
Menurut Rizwan, tujuan dia ke pusat beli-belah berkenaan adalah untuk menyambut hari lahir isterinya, tetapi tidak menyangka keretanya diparkir bersebelahan dengan kenderaan yang ditemui mayat.
Terkejut dengan penemuan itu, dia segera mendapatkan bantuan pengawal keselamatan untuk melaporkan kejadian tersebut.
“Saya terus memaklumkan kepada pengawal keselamatan dan mereka segera menghubungi pihak pengurusan sebelum laporan polis dibuat untuk tindakan lanjut,” katanya.
Rizwan mengakui bahawa kejadian itu meninggalkan kesan mendalam kepadanya, malah bau mayat tersebut masih mengganggu fikirannya selama dua hari selepas insiden itu.
Berdasarkan siasatan awal, mayat yang ditemui dalam kenderaan jenis Proton Wira itu dipercayai sudah berada di situ selama tiga hari.
Setakat ini, masih tiada butiran lanjut daripada pihak polis berkenaan penemuan mayat berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!